Images
  • PPIS
    (Gambar: PPIS)

Sumbangan anda kepada PPIS akan cerahkan masa depan kanak-kanak ini

SINGAPURA: Seperti kanak-kanak yang lain, Nur juga mempunyai impian, iaitu mendapatkan pendidikan yang sewajarnya dan berpeluang melangkah ke alam persekolahan apabila tiba masanya.

Namun kesukaran yang terpaksa diharungi keluarganya hampir-hampir memusnahkan impiannya untuk belajar di prasekolah seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Nur, yang kini berusia enam tahun, lewat mendaftar ke prasekolah dek krisis COVID-19 yang membelenggu kehidupan keluarganya.

Bapa Nur, yang merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga, diberhentikan kerja. Lantaran itu, demi kelangsungan hidup dan menyara keluarganya, beliau terpaksa memikul dua pekerjaan.

Ibu Nur pula terpaksa kembali bekerja.

Hanya selepas mereka berpindah ke sebuah kejiranan lain semata-mata untuk meringankan beban kewangan keluarga, ibu bapa Nur mendapat tahu tentang khidmat jagaan kanak-kanak yang disediakan oleh PPIS dan mendaftarkan Nur serta dua anak yang lain di prasekolah PPIS.

Bagi menampung keperluan keluarga, ibu bapa Nur bekerja keras untuk memastikan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan yang terbaik dan berkesan.

Kagum dengan tekad dan ketabahan ibu bapa Nur untuk mencarta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka, PPIS terus menghulurkan bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh Nur serta adik-beradiknya.

Menerusi khidmat jagaan kanak-kanak PPIS, Nur dan adik-beradiknya mendapat akses yang saksama kepada pendidikan prasekolah yang bermutu.

Matlamat PPIS adalah untuk membantu kaum wanita dan keluarga mereka dalam setiap fasa kehidupan mereka, termasuk memberikan sokongan kepada anak-anak mereka.

Melalui khidmat jagaan kanak-kanak dan keluarga, PPIS menyediakan ruang selamat untuk anak-anak seperti Nur dan adik-beradiknya untuk memperkasa diri dan memenuhi potensi mereka.

Di sinilah, sumbangan dan sokongan berterusan yang prihatin dan penyayang dari setiap anggota masyarakat kepada PPIS akan membolehkan kanak-kanak seperti Nur dan adik-beradiknya dapat belajar dan bermain dengan rakan-rakan sebaya mereka dan ibu bapa mereka pula dapat bekerja dengan tenang.

Malah, ibu Nur kemudian berjaya mendapatkan pekerjaan tetap.

Dengan sebanyak 16 pusat di merata Singapura, khidmat-khidmat yang disediakan oleh PPIS akan menghulurkan sokongan yang bermutu dan menyeluruh, di samping menawarkan program-program pembangunan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

Sempena bulan suci Ramadan tahun ini, PPIS mengharapkan bantuan anda untuk menyumbang kepada Dana Projek Ihsan Ramadan PPIS untuk terus mempertingkatkan kehidupan keluarga yang kurang bernasib baik.

Sumbangan derma daripada kempen tahunan Projek Ihsan Ramadan PPIS akan disalurkan kepada para penerima bantuan, khususnya wanita dan kanak-kanak, menerusi program-program, subsidi dan bantuan kewangan kendalian PPIS.

Di sebalik kegelapan, pasti ada sinar harapan.

Dengan derma anda, sumbangan ikhlas anda itu akan menyinari kehidupan mereka.

Bantu PPIS sediakan ruang selamat untuk melindungi anak-anak yang memerlukan. Derma melalui giving.sg/ppis

- BERITAmediacorp/nk

Top