Images
  • sultan johor 7 apr (1)
    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. (Gambar: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook)

Sultan Johor beri peringatan 'pihak luar' jangan campur tangan hal ehwal negeri

JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bahawa negeri Johor tidak memerlukan pihak lain untuk "melompat-lompat" dan campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri tersebut, lapor Malaysiakini. Sultan Ibrahim berkata Johor mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri sejak ia wujud.

"Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Johor," katanya.

Kenyataan itu dibuat mengiringi pengesahan pelantikan Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar baru Johor pagi tadi (14 Apr).

Sultan Johor mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin Jamal atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor yang baru.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebooknya, Sultan Johor berharap Dr Sahruddin akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor.

"Saya juga mahukan beliau (Dr Sahruddin) memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang," katanya.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menasihati pihak kerajaan supaya jangan membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Beliau berkata kerajaan sebaliknya hendaklah menumpukan perhatian membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

"Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah, bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri Johor.

"Kedaulatan Negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia," kata beliau sambil berharap semoga Johor terus maju, makmur dan diberkati.

Pada pagi tadi (14 Apr), Dr Sahruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pada 9.30 pagi.

Dr Sahruddin dilantik Menteri Besar Johor ke-17 menyusuli peletakan jawatan Osman Sapian pada 8 April.

- BERNAMA/Agensi berita/AI/ai

Top