Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subway sumbang 10,000 sandwic percuma kepada relawan, petugas pusat ujian & vaksinasi COVID-19

Rangkaian restoran makanan segera Subway menyumbang 10,000 sandwic percuma kepada para sukarelawan dan kakitangan barisan hadapan COVID-19 sebagai tanda penghargaan atas kerja keras dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai.

Anggaran Waktu Membaca:
Subway sumbang 10,000 sandwic percuma kepada relawan, petugas pusat ujian & vaksinasi COVID-19

Seorang kakitangan pusat vaksinasi Woodlands Galaxy CC menerima sandwich percuma dari Subway pada 3 Ogos 2021 (Gambar: Subway Singapore)

SINGAPURA: Rangkaian restoran makanan segera Subway menyumbang 10,000 sandwic percuma kepada para sukarelawan dan kakitangan barisan hadapan COVID-19 sebagai tanda penghargaan atas kerja keras dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai.

Lebih khusus lagi, agihan yang bermula pada Isnin (2 Ogos), ditujukan kepada para kakitangan dan anggota sukarelawan yang bertungkus lumus bertugas di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) serta pusat-pusat ujian dan vaksinasi COVID-19.

Dalam kenyataan medianya, syarikat tersebut turut menjelaskan bahawa agihan itu juga adalah hasil inisiatif 'padanan sandwic' di mana restoran itu akan mendermakan satu sandwic bagi setiap satu Rendang Sub yang dibeli pelanggan sejak menu baru itu dilancarkan pada 21 Julai.

Rendang Sub dan biskut perisa pandan adalah tawaran cita rasa tempatan pertama oleh Subway, menurut restoran itu.

"Adalah sangat bertepatan sekali sempena pelancaran cita rasa tempatan pertama Subway, kami menyokong dan menzahirkan penghargaan kami kepada mereka yang bertungkus lumus bekerja demi memastikan negara kita selamat di tengah-tengah pandemik," kata Pengarah Subway bagi Rantau Asia Tenggara, Samad Mohd Shariff dalam kenyataan tersebut.

Kakitangan Subway menyiapkan roti sandwic untuk diagihkan secara percuma kepada petugas barisan hadapan COVID-19 bermula 3 Ogos 2021 (Gambar: Subway Singapore) 

Kakitangan Subway menyiapkan roti sandwic untuk diagihkan secara percuma kepada petugas barisan hadapan COVID-19 bermula 3 Ogos 2021 (Gambar: Subway Singapore) 

Sandwic-sandwic tersebut akan diagihkan ke semua 36 pusat vaksinasi dan 26 pusat ujian COVID-19 di merata negara sehingga 17 Ogos.

Menurut Subway lagi, setiap kakitangan dan relawan akan menerima sandwic tersebut sebanyak dua kali, sekali pada minggu ini dan sekali lagi pada minggu depan.

PELBAGAI USAHA IKTIRAF SUMBANGAN 'WIRA' COVID-19

Subway bagaimanapun bukan satu-satunya syarikat yang mengiktiraf sumbangan kakitangan barisan hadapan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Pada Jun lalu, satu lagi rangkaian restoran makanan segera, McDonald's, mendermakan 2,000 set menu khas BTS kepada kakitangan barisan hadapan di Lapangan Terbang Changi.

Usaha-usaha sedemikian bukan sahaja dilakukan oleh syarikat-syarikat gergasi dan perusahaan kecil dan sederhana, gerakan 'ground up' bahkan juga turut serta dalam menunjukkan penghargaan masing-masing.

Pada Jun, BERITAmediacorp melaporkan kisah seorang bekas jururawat yang kini pemilik kedai gunting NYO Studios, yang menawarkan diskaun kepada para petugas barisan hadapan COVID-19.

Bulan lalu pula, sekumpulan belia berkongsi dengan BERITAmediacorp mengenai gerakan Sg Healthcare Heroes atau Wira Jagaan Kesihatan Singapura sebagai respons terhadap diskriminasi yang dihadapi sebilangan pekerja jagaan kesihatan.

Hasil cetusan idea Cik Nur Fateha Salim, gerakan itu berjaya menggembleng sokongan lebih 40 perniagaan tempatan untuk sama-sama menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan atau potongan harga kepada para kakitangan jagaan kesihatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan