Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subsidi makanan bagi pelajar skim bantuan kewangan dilanjutkan semasa tempoh HBL

Pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah skim bantuan kewangan Kementerian Pendidikan (MOH) kini akan terus menerima subsidi makanan, tidak kira sama ada mereka kembali ke sekolah ataupun tidak sepanjang tempoh pembelajaran di rumah sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Subsidi makanan bagi pelajar skim bantuan kewangan dilanjutkan semasa tempoh HBL

(Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 13 Apr 2020 04:25PM Dikemas Kini : 13 Apr 2020 04:31PM

SINGAPURA: Pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah skim bantuan kewangan Kementerian Pendidikan (MOH) kini akan terus menerima subsidi makanan, tidak kira sama ada mereka kembali ke sekolah ataupun tidak sepanjang tempoh pembelajaran di rumah sepenuhnya.

Peruntukan itu akan meliputi tempoh empat minggu pembelajaran di rumah dari 8 April hingga 4 Mei, dan boleh digunakan untuk membeli makanan dan barang-barang dapur yang penting termasuk dari beberapa pusat penjaja, pusat makanan dan pasar raya, kata MOE pada Isnin (13 Apr).

Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada sekitar 45,000 pelajar sebagai melengkapi sokongan lain yang dihulurkan kepada mereka dan keluarga mereka dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini, tambah MOE.

Program makanan di sekolah ditubuhkan pada 2006 untuk menyediakan subsidi bagi makanan yang dibeli dari kantin dan dimakan di sekolah.

Sepanjang tempoh pembelajaran di rumah, pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah skim bantuan kewangan yang kembali ke sekolah masih boleh memanfaatkan program ini.

Dengan subsidi makanan dilanjutkan, pelajar yang layak tetapi tidak kembali ke sekolah dalam tempoh ini juga akan menerimanya.

Nilai subsidi yang diterima adalah sama dengan jumlah sekiranya sekolah berlangsung seperti biasa, jelas MOE.

Murid sekolah rendah akan menerima S$80 setiap seorang, termasuk sumbangan tambahan S$20 daripada Dana Sayang Sayang.

Dana Sayang Sayang memberi bantuan kepada masyarakat memerlukan yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Pelajar sekolah menengah di bawah skim bantuan kewangan pula masing-masing akan menerima S$120.

Subsidi makanan di sekolah akan diagihkan menerusi dua tokokan Smartcard Sekolah pelajar yang layak, dan boleh ditebus di mana-mana Mesin Tambah Nilai TransitLink sekali setiap dua minggu mulai Selasa.

Smartcard Sekolah boleh digunakan untuk membeli makanan dan barangan dapur penting di beberapa pusat penjaja, pusat makanan, kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar raya.

Subsidi makanan yang dilanjutkan bernilai sekitar S$4.5 juta, di mana kira-kira S$500,000 disumbangkan oleh Dana Sayang Sayang.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan