Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subahat dengan warga tua bakar flat bekas isteri, lelaki 21 tahun dipenjara

Muhammad Danish’ammar Suhardi bersetuju menerima upah S$300 oleh seorang kenalan untuk membakar flat bekas isterinya dengan menyalakan api pada tilam di luar rumah wanita berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Subahat dengan warga tua bakar flat bekas isteri, lelaki 21 tahun dipenjara

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 Jun 2019 09:08AM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 10:47AM

SINGAPURA: Muhammad Danish’ammar Suhardi bersetuju menerima upah S$300 oleh seorang kenalan untuk membakar flat bekas isterinya dengan menyalakan api pada tilam di luar rumah wanita berkenaan.

Kebakaran itu merebak ke koridor dan menyebabkan bekalan elektrik terputus pada separuh blok tersebut selain kerosakan bernilai S$9,893. Tiada kecederaan dilaporkan kerana mangsa dan anak lelaki tersadar daripada tidur apabila terdengar bunyi menggeresek.

Danish’ammar, 21 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan tiga bulan pada Selasa (11 Jun).

Dia mengaku bersalah pada hari sebelumnya di Mahkamah Negara atas dua tuduhan bersubahat dengan berkomplot untuk melakukan perbuatan nakal menerusi kebakaran dan mengambil dadah methamphetamine.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 25 Februari lalu, sekitar jam 11.00 malam, Danish’ammar ada bersama rakan-rakannya di luar cawangan 7-Eleven berdekatan Sunshine Place di Choa Chu Kang.

Safie Jantan, 57 tahun, kemudian mendekati Danish’ammar dan meminta untuk bercakap dengannya. Safie memberitahu Danish'ammar bahawa dia akan mengupah lelaki itu S$300 untuk membakar flat bekas isterinya dan apa yang perlu dilakukan adalah membakar tilam yang sudahpun diletakkan di luar rumah.

Danish'ammar bersetuju dan bertanya rakan-rakannya jika ada sesiapa yang mahu menyertainya. Hanya Mohd Syahmi Mirza Shamsudin, 18 tahun, yang bersetuju.

Setibanya mereka di flat berkenaan pada kira-kira 2.00 pagi, Danish'ammar memberitahu Syahmi untuk menjadi mata-matanya di kolong blok dan dia kemudian naik atas lalu membakar tilam menggunakan pemetik api.

Mereka kemudian meninggalkan blok tersebut dan kembali ke Sunshine Place. Safie memberikan Danish’ammar S$300 seperti yang dijanjikan namun dia tidak berkongsi wang tersebut dengan Syahmi.

Bekas isteri Safie dan anak lelakinya sedang tidur semasa kebakaran itu tercetus namun mereka terjaga oleh bunyi bising. Wanita itu menghubungi polis dan api kebakaran dipadamkan oleh anggota-anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Danish’ammar diberkas beberapa minggu berikutnya pada 11 Mac.

Dia dibawa ke Ibu Pejabat Divisyen Polis Woodlands di mana dia memberikan dua sampel air kencing. Polis kemudian mendapati sampel itu mengandungi methamphetamine.

Siasatan mendedahkan Danish’ammar mengambil dadah itu untuk kali pertama pada malam sebelumnya semasa di bilik mandi rumahnya.

Atas kesalahan bersubahat dengan berkomplot untuk melakukan perbuatan nakal menerusi kebakaran, Danish’ammar boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda. Bagi kesalahan mengambil dadah terlarang, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda S$20,000 atau kedua-duanya sekali. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan