Images
  • westgate main
    (Gambar: CNA)

Suasana hambar di Jem, Westgate apabila dibuka semula selepas ditutup 2 minggu

SINGAPURA: Tidak ramai orang yang mengunjungi Jem dan Westgate pada Ahad (6 Jun), apabila kedua-dua pusat beli-belah itu dibuka semula setelah ditutup selama dua minggu.

Jem dan Westgate ditutup sejak 23 Mei bagi membendung "penularan berterusan" COVID-19 yang mungkin berlaku dalam kalangan pengunjung, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini. Setakat 5 Jun, 63 kes COVID-19 didapati berhubung kait dengan kelompok Jem dan Westgate.

Memberikan respons kepada pertanyaan Mediacorp, kedua-dua pusat beli-belah itu menyatakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman selesai dijalankan sebelum ia dibuka semula.


CapitaLand yang mengendalikan Westgate, menyatakan bahawa ia juga mempertingkatkan protokol pembersihan dan langkah berjaga-jaga. Ini termasuk meletak tikar lantai pembasmian kuman di pintu masuk utama dan menyaluti tempat yang disentuh ramai dengan disinfektan anti-mikrobial.

Di bahagian Westgate yang berhawa dingin, udara dalam bangunan akan "dibersihkan" sebelum pusat beli-belah itu dibuka setiap hari, menurut CapitaLand. Kesemua peredam udara dalam bangunan itu juga dibuka sepenuhnya bagi mempertingkatkan pengaliran udara ke bahagian dapur dan tandas pusat beli-belah itu.

Ia juga menggunakan teknologi ultaraungu untuk membunuh kuman dalam sistem pusat bekalan udara dan ia sedang menguji alat pembasmi kuman udara ultraungu di beberapa kawasan tertutup.

Apabila Mediacorp mengunjungi pusat beli-belah itu pada kira-kira pukul 11.30 pagi, sebahagian besar kedai lengang. Kebanyakan pengunjung berada di pasar raya atau kedai makan.


Jumlah pengunjung yang rendah itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi para peruncit yang ditemui Mediacorp, yang terjejas teruk oleh pandemik serta langkah-langkah COVID-19 lebih ketat yang dilaksanakan pada bulan lalu.

"Walaupun sebelum pusat beli-belah ini ditutup, kita tidak menerima sebarang pelanggan," kata Encik Alex Chen, seorang penyewa di Westgate.

Pengurus besar kedai kasut iBeryl menyatakan penjualan di kelima-lima cawangannya agak hambar sejak Singapura melangkah ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada Mei. Pada sebilangan hari, kedainya hanya setakat meraih pendapatan kurang S$100 setiap satu.

"Secara jujur, penutupan selama dua minggu itu sebenarnya membawa sedikit kelegaan kerana saya tidak perlu bimbang tentang bayaran sewa kerana kita diberi pengecualian sewa," katanya.

"Kini kita beroperasi semula, saya perlu fikirkan tentang perniagaan yang hambar."

Walaupun dengan situasi yang tidak begitu menggalakkan, sesetengah peruncit berharap dapat menarik para pelanggan dengan menawarkan potongan harga dan khidmat membeli-belah yang diperibadikan.

Cik Lena Ong, yang mengendalikan sebuah kios menjual stoking di Jem berkata bahawa beliau menawarkan potongan harga 10 peratus bagi barang-barangannya.

"Ia memberi insentif kepada para pelanggan tetap yang membeli lebih daripada apa yang mereka sering beli dan semoga ini akan menarik para pelanggan baru," katanya. "Ia juga membantu kita untuk menghabiskan stok dan meningkatkan prestasi perniagaan."

- CNA/HA/ha

Top