Images
  • karon phuket
    Permandangan di Karon, Phuket (Gambar: Wikimedia Commons/ADwarf)

Suami warga S'pura terbunuh di resort Phuket

PHUKET: Suami kepada seorang wanita warga Singapura terbunuh pada Rabu (21 Ogos) setelah bergaduh dengan seorang lagi tetamu di sebuah resort di Karon, Phuket.

Lelaki warga Britain itu sedang bercuti bersama isterinya, seorang warga Singapura, dan anak lelaki mereka apabila beliau mula bertengkar dengan seorang lagi tetamu pusat peranginan dari Norway.

Mejar Polis Deethongon dari balai polis Karon mengesahkan identiti warga Norway itu sebagai Roger Bullman, 54 tahun.

"Mereka menginap bersebelahan satu sama lain. Warga Britain itu menginap di Bilik 345 manakala warga Norway di Bilik 344," katanya.

Insiden tercetus apabila Bullman bernyanyi di balkoni pada sekitar 1.00 atau 2.00 pagi dan warga Britain itu bersemuka dengannya, menurut polis.

"Si suami keluar untuk mengadu tentang bunyi bising kerana pasangan itu ada anak kecil. Satu pergelutan menyusul," tambah Maj Deethongon.

"Warga Norway itu kemudian menendang buka pintu kayu di balkoni yang memisahkan bilik-bilik mereka lalu mereka bergaduh."

Menurut polis lagi, warga Britain itu kemudian terbunuh apabila dicekik.

"Semasa disoal siasat, warga Norway itu berkata beliau melakukan sedemikian untuk menahan mangsa daripada bergerak namun tidak berniat untuk membunuhnya," kata Maj Deethongon.

Bullman ditahan oleh mahkamah Phuket.

"Sama ada warga Norway itu akan dibebaskan dengan ikat jamin bergantung kepada hakim," tambah pegawai itu. "Dakwaan termasuk menceroboh pada waktu malam dan menyebabkan kecederaan hingga mengakibatkan kematian."

- CNA/TQ/tq

Top