Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suami isteri dipenjara, denda S$1 juta kerana elak cukai

Dua pengarah syarikat dijatuhi hukuman penjara dan denda melebihi S$1 juta kerana menuntut perbelanjaan peribadi dalam penyata cukai syarikat, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Jumaat (12 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri dipenjara, denda S$1 juta kerana elak cukai

Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 12 Jul 2019 10:13PM Dikemas Kini : 12 Jul 2019 10:14PM

SINGAPURA: Dua pengarah syarikat dijatuhi hukuman penjara dan denda melebihi S$1 juta kerana menuntut perbelanjaan peribadi dalam penyata cukai syarikat, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Jumaat (12 Jul).

Atas kesalahan yang dilakukan, Foo Ming Chee dikenakan penjara sebulan dan denda S$440,309 - dua kali ganda jumlah cukai yang dielak. Isterinya Lim Kim Wah dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda S$587,079, tiga kali ganda jumlah cukai yang cuba dielak.

Kedua-duanya adalah pengarah Candid Electric, sebuah pembekal barangan elektrik dalam industri marin.

Syarikat itu didapati mengisytiharkan pendapatan yang kurang dengan menuntut perbelanjaan peribadi pasangan itu dalam penyata cukainya bagi tahun takrifan 2006 hingga 2010.

"Perbelanjaan peribadi ini termasuk pembelian barangan mewah seperti beg tangan dan barang kemas serta cuti pelancongan keluarga," menurut IRAS.

Foo dan Lim masing-masing dihadapkan lima dakwaan kerana membantu Candid Electric elak membayar cukai.

Foo membuat catatan palsu dalam penyata cukai Candid Electric, manakala Lim menyiapkan invois dan baucar pembayaran untuk menyokong tuntutan tersebut.

Pasangan tersebut mengaku bersalah atas dua dakwaan setiap satu manakala dakwaan-dakwaan lain dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Selain itu, Candid Electric didenda S$4,000 dan dikenakan denda S$36,411 kerana membuat tuntutan yang salah tanpa sebarang sebab munasabah.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan