Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suami isteri Abdul Hamid dan Fatimah Hayon antara 6 orang awam terima anugerah polis

Encik Abdul Hamid Abdul Aziz dan isterinya Cik Fatimah Hayon, merupakan anggota Rondaan Rakyat atau Citizens On Patrol (COP).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Encik Abdul Hamid Abdul Aziz dan isterinya Cik Fatimah Hayon, merupakan anggota Rondaan Rakyat atau Citizens On Patrol (COP).

Pada 16 Mac tahun ini, mereka tiba-tiba ternampak kasut-kasut 'melayang' dari sebuah blok berhadapan rumah mereka di Bukit Batok East Avenue 3.

"Saya pun (bertanya), kenapa kasut ini melayang-layang? Jadi saya pun pergi ke tepi tembok mengendap dan ternampak yang si dia ini (pencuri) cuba pergi rumah ke rumah, dia ambil kasut itu, dia membuangnya (ke bawah blok)," kata Encik Hamid.

Lelaki mencurigakan berusia 30-an tahun itu, kata Encik Hamid, kemudian turun ke kolong blok untuk mengutip kasut-kasut berkenaan dan membawanya pergi menaiki basikal.

Lantaran itu, Encik Hamid serta rakan-rakan Rondaan Rakyat lain saling berhubungan dan memaklumkan polis. Lelaki itu akhirnya ditangkap dua jam kemudian dengan bantuan mereka.

(Gambar: Ira Musfirah)

Bagi menghargai tindakannya menjaga ketenteraman awam, Encik Hamid dan isterinya menjadi antara enam anggota masyarakat yang diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam di Divisyen Polis Jurong tengah hari tadi.

Kesemuanya enam orang awam diberikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam di Divisyen Polis Jurong hari ini (17 Jun). 22 buah pertubuhan turut diiktiraf kerana kerjasama kukuh mereka dengan pihak polis dalam mencegah jenayah.

4 KAKITANGAN SINGPOST TURUT DIBERI PENGHARGAAN

Empat kakitangan SingPost yang termasuk Encik Tahir Saleh dan Cik Nora Yasmin pula diiktiraf kerana berjaya mencegah 10 mangsa daripada terperangkap dalam percubaan menipu tahun lalu, berjumlah sekurang-kurangnya $5,500.

Cik Nora misalnya, pada tahun lalu mencegah penipuan pengiriman wang sebanyak AS$800 atau sekitar S$1,100 ke Nigeria yang ingin dibuat si mangsa, iaitu seorang warga emas.

(Gambar: SPF)

"Saya rasa ada lagi ramai warga Singapura tak kira muda atau tua yang masih kurang pengetahuan tentang penipuan sebegini dan selalunya pada saya sebagai pihak perkhidmatan barisan depan, kita ada satu tanggungjawab untuk membantu warga sebegini untuk mengelak daripada ditipu," jelas beliau, yang menerima Anugerah Kerjasama Masyarakat.

Yang pasti, kesemua penerima anugerah tersebut diiktiraf kerana menjadi 'mata' dan 'telinga' pasukan keselamatan serta pantas bertindak dalam membantu membanteras jenayah.

Superintenden di Divisyen Polis Jurong, Encik Mohd Hamizyam Samion berkata: "Tugas untuk mencegah dan juga membasmi jenayah adalah satu tanggungjawab bersama. Tidak mungkin untuk pihak polis melakukan ini tanpa sokongan kuat dari masyarakat. Jadi tindakan oleh mereka adalah bukti yang hubungan antara polis dan masyarakat adalah kukuh dan kami harap agar hubungan ini akan lebih rapat di masa hadapan."

(Gambar: SPF)

Selain SingPost, 21 pertubuhan lain yang juga diberikan Anugerah Kerjasama Masyarakat termasuklah Persatuan Penjaja Boon Lay, Kelab Masyarakat Boon Lay dan pusat beli-belah Jurong Point kerana sokongan berterusan dan kerjasama kukuh masing-masing dengan pihak polis dalam membanteras jenayah.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan