Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suami anak kapal SIA, satu-satunya kes baru COVID-19 dalam masyarakat

Satu-satunya kes dalam masyarakat itu tidak melaporkan simptom yang dialaminya semasa menjalani kuarantin, meskipun sudah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes terdahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami anak kapal SIA, satu-satunya kes baru COVID-19 dalam masyarakat

Orang ramai di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 12:59AM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 01:01AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 10 kes baru COVID-19 pada Isnin (22 Feb), termasuk satu kes dalam masyarakat.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini.

Satu-satunya kes dalam masyarakat itu tidak melaporkan simptom yang dialaminya semasa menjalani kuarantin, meskipun sudah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes terdahulu.

Lelaki berusia 43 tahun itu, dikenali sebagai Kes 60389 merupakan suami kepada Kes 601021, anak kapal SIA, yang disahkan positif pada 9 Feb semasa dalam penerbangan pulang dari Dubai.

Beliau bertugas sebagai seorang perancang acara namun tidak ke tempat kerja sejak 1 Februari.

Dia menjalani kuarantin pada 9 Februari dan ujian swab yang dilakukan pada hari yang sama negatif COVID-19.

Beliau kemudian mengalami anosmia, atau hilang deria bau, pada 15 Februari semasa menjalani kuarantin tetapi tidak melaporkan simptomnya, kata MOH.

Pada 20 Februari, beliau mengalami demam dan hanya memakan ubat sendiri, tanpa memaklumkan kepada MOH. Keesokan harinya, lelaki itu menjalani ujian COVID-19 sebagai sebahagian daripada protokol ke atas mereka yang dikuarantin. Keputusannya positif COVID-19 dan beliau dihantar ke Pusat bagi Nasional Penyakit Berjangkit (NCID).

Ujian serologinya negatif, bermakna ia mungkin jangkitan baru. Beliau diuji bagi B117 dan masih menanti keputusannya.

MOH menekankan bahawa individu-individu yang dikuarantin atau menjalani SHN, perlu segera memaklumkan simptom yang dialami dan melaporkan keadaan kesihatan mereka kepada MOH setiap hari.

Mereka diberikan senarai simptom COVID-19 serta panduan memberi maklumat semasa hari pertama diasingkan.

KES IMPORT

Baki sembilan kes import diberikan notis jangan keluar rumah sebaik tiba di negara ini.

Dua daripadanya adalah rakyat Singapura yang pulang dari Britain dan Indonesia.

Lagi tiga adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Satu kes pula adalah pemegang Pas Kerja yang tiba dari Filipina.

Baki tiga kes adalah pemegang Permit Kerja yang tiba dari Indonesia dan Myanmar. Satu daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

KES-KES LAIN

Lagi 15 kes COVID-19 sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhannya, sebanyak 59, 746 kes sudah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital dan kemudahan jagaan masyarakat.

Buat masa ini terdapat 19 kes yang masih berada di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih. Satu kes dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Seramai 85 orang diasingkan dan dijaga di kemudahan-kemudahan masyarakat. Mereka hanya mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi positif COVID-19.

Singapura melaporkan 59,879 kes COVID-19 sehingga hari ini dengan 29 kematian.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan