Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

STB sedang siasat kes 40 jemaah umrah tidak dapat berangkat di S'pura

Seramai 40 jemaah umrah Singapura gagal berlepas untuk berangkat ke Makkah.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seramai 40 jemaah umrah Singapura gagal berlepas untuk berangkat ke Makkah. BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa kumpulan jemaah yang terkandas itu dikatakan membeli pakej-pakej umrah dari ejen pelancongan tidak berlesen.

Mereka sepatutnya berangkat pada Khamis lalu (28 Nov).

Semasa dihubungi pihak kami, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengesahkan bahawa ia "sedar tentang maklum balas pengguna berhubung perkara tersebut" dan sedang menyiasat kejadian tersebut.

STB menambah bahawa ia tidak menolak mengambil "tindakan lanjut seandainya ada sebarang pelanggaran undang-undang tertentu".

Sebagai antara jalan keluar bagi kemelut yang dihadapi para jemaah yang terjejas itu, menurut STB kepada BERITAmediacorp, mereka mungkin boleh merujuk kepada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS).

(Gambar: Lembaga Pelancongan S'pura/Facebook)

(Gambar: Lembaga Pelancongan S'pura/Facebook)

Buat masa ini, belum jelas lagi siapakah kumpulan 40 jemaah yang terjejas itu dan agensi atau pihak manakah yang digunakan untuk perjalanan umrah mereka. Kedua-dua STB dan AMTAS tidak dapat memberikan maklumat lanjut ketika diminta pihak kami.

STB MINTA BANTUAN AGENSI-AGENSI DI BAWAH AMTAS

Sumber-sumber dalam pada itu memberitahu kami bahawa STB ada meminta bantuan daripada agensi-agensi pelancongan di bawah AMTAS agar dapat membantu jemaah-jemaah terjejas itu untuk berlepas, jika ada sebarang pakej yang sesuai pada masa ini.

Buat masa ini, terdapat sebanyak 49 agensi pelancongan yang berdaftar di bawah AMTAS.

Namun, sekiranya para jemaah yang terjejas itu menghubungi mana-mana syarikat pelancongan AMTAS bagi meneruskan perjalanan mereka ke tanah suci, mereka mesti bersedia untuk menerima perubahan pada jadual perjalanan dan menanggung kos penuh pakej. Ini kerana ia dianggap sebagai membeli pakej 'baru' dari syarikat lain.

Hakikatnya, kebanyakan pakej-pakej umrah musim cuti hujung tahun ini sudah ditempah para pelanggan sebelum bermulanya musim haji 2019, iaitu kira-kira lima atau enam bulan yang lalu.

Cik Faridahanim (dua dari kiri) bersama jemaah umrah semasa bulan Ramadan lalu. (Gambar: Sha Travel/Facebook)

Cik Faridahanim (dua dari kiri) bersama jemaah umrah semasa bulan Ramadan lalu. (Gambar: Sha Travel/Facebook)

Semasa BERITAmediacorp menghubungi Sha Travel & Tours Pte Ltd (syarikat pelancongan di bawah AMTAS), Pengarahnya, Cik Siti Faridahanim Hashim berkata sejauh ini belum ada daripada jemaah yang terbabit itu menghubungi syarikatnya untuk membuat pertanyaan.

Namun syarikatnya sedia membantu. Itupun jika keadaan mengizinkan.

"Sekiranya kami masih ada ruang, kami akan membantu mereka. Tetapi mereka perlu membayar harga mengikut pakej yang kami jual. Jika jumlah mereka yang ingin mendapatkan pakej kami mencukupi, kita mungkin boleh adakan pakej berasingan tetapi berdasarkan harga yang sedia ada," kata Cik Hanim.

Malah dalam senario terburuk, agensi-agensi naungan AMTAS mungkin tidak dapat berbuat apa-apa.

"Kita tengoklah sama ada terdapat tempat kosong lagi. Kalau tidak, kami terpaksa meminta maaf," tambah Cik Faridah.

"JANGAN DAFTAR DENGAN ORANG PERSEORANGAN"

Menyusuli kejadian ini, sebuah lagi syarikat pelancongan di bawah AMTAS berkongsi pandangan bahawa sesiapa pun yang hendak menunaikan ibadah umrah seharusnya mendapatkan pakej daripada syarikat-syarikat berwibawa.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Semua jemaah yang hendak pergi umrah, (mesti) mendaftar dengan ejen yang bertauliah, yang ada lesen. Jangan daftar dengan orang perseorangan.

"Jangan berdaftar dengan orang perseorangan atau syarikat yang tak boleh jual. Syaratnya jelas! Mana-mana syarikat yang mahu menjual produk pelancongan - umrah termasuk dalam senarai produk pelancongan - ia mestilah sesebuah ejen yang disahkan," tegas pemilik syarikat itu yang meminta agar namanya tidak didedahkan.

"Awak daftar orang perseorangan, ustaz macam mana jambang panjang sekalipun, kalau dia nak tipu, dia tipu," ulasnya lagi secara terus terang.

Beliau juga berharap agar tindakan yang lebih tegas dikenakan ke atas ejen-ejen yang melanggar peraturan STB, bukan setakat dikenakan "amaran saja".

(Gambar: Amtas.sg)

(Gambar: Amtas.sg)

BERITAmediacorp difahamkan bahawa AMTAS tidak mewajibkan masyarakat untuk berdaftar atau mendapatkan pakej-pakej pelancongan, khususnya umrah, daripada ejen-ejen di bawah persatuan itu.

Namun, masyarakat amat digalakkan untuk melakukan demikian agar dapat mengelak daripada kemungkinan berlakunya kes-kes yang tidak diingini atau kes penipuan.

Senarai ejen-ejen pelancongan sah bagi ibadah umrah boleh diperolehi di laman ini

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan