Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Status positif-HIV 14,200 orang dibocorkan online

Status positif-HIV 14,200 individu - dan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan butir perhubungan mereka dibocorkan secara online, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (28 Jan). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Jan 2019 06:59PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 11:32PM

SINGAPURA: Status positif-HIV 14,200 individu - dan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan butir perhubungan mereka dibocorkan secara online, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (28 Jan). 

Rekod-rekod tersebut adalah milik 5,400 rakyat Singapura yang dikesan menghidap HIV sehingga Jan 2013 dan 8,800 warga asing, termasuk para pemegang dan pemohon pas lawatan dan kerja yang didiagnos menghidap HIV sehingga Dis 2011.

Maklumat yang dibocorkan termasuk nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat, hasil ujian HIV dan maklumat perubatan mereka. Butir-butir perhubungan mereka dengan 2,400 lagi individu sehingga Mei 2007 juga dibocorkan, menurut MOH dalam satu kenyataan media.

Daftar HIV menyimpan maklumat para individu yang didiagnos dengan HIV, penyakit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit. Kementerian itu menyatakan ia menggunakan daftar tersebut untuk memantau keadaan jangkitan HIV, melakukan pengesanan perhubungan dan menilai langkah-langkah pencegahan serta pengurusan penyakit.

Maklumat tersebut kini di tangan "seorang yang tidak mempunyai kebenaran" - Mikhy K Farrera Brochez, seorang rakyat Amerika di Singapura. Brochez diusir dari Singapura pada April 2018, selepas dia didapati bersalah atas dakwaan menipu dan kesalahan dadah. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 28 bulan.

"Walaupun akses kepada maklumat sulit sudah disekat, ia masih lagi di tangan seorang yang tidak mempunyai kebenaran dan mungkin boleh dibocorkan kepada umum di masa depan," menurut MOH. "Kami sedang bekerjasama dengan pihak-pihak relevan untuk memeriksa Internet bagi tanda-tanda pembocoran maklumat.

"Kami memohon maaf ke atas kebimbangan dan tekanan yang ditimbulkan daripada insiden ini. Keutamaan kami adalah kebajikan para individu yang terjejas," tambah kementerian itu.

"Kami meminta orang ramai untuk memaklumkan MOH secepat mungkin jika mereka mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini, dan tidak menyebarkannya."

BROCHEZ RAKAN DOKTOR S'PURA

Brochez ialah rakan lelaki Ler Teck Siang, seorang doktor lelaki Singapura yang juga ketua Unit Kesihatan Awam Nasional MOH dari Mac 2012 hingga Mei 2013. Sebelum meletak jawatan pada Jan 2014, Ler mengakses daftar HIV atas keperluan kerja, menurut MOH.

Ler dipercayai salah menguruskan maklumat itu dan tidak mematuhi peraturan mengendalikan maklumat sulit, tambah MOH.

Kementerian itu selanjutnya menyatakan bahawa ia membuat laporan polis terhadap Brochez pada Mei 2016, apabila ia menerima maklumat bahawa dia mempunyai maklumat sulit yang dipercayai daripada Daftar HIV. Tempat kediaman Brochez dan Ler digeledah, dan bahan-bahan relevan dirampas polis.

Dua tahun kemudian pada Mei 2018, selepas Brochez diusir dari Singapura, kementerian itu menerima maklumat bahawa Brochez masih mempunyai sebahagian rekod tersebut. Maklumat itu kelihatannya tidak didedahkan kepada umum. MOH membuat satu lagi laporan polis dan menghubungi para individu terjejas.

Pada 22 Jan tahun ini, MOH dimaklumkan oleh polis bahawa Brochez mungkin masih mempunyai lebih maklumat dari Daftar HIV dan membocorkannya secara online.

Kementerian itu mengesahkan bahawa maklumat dibocorkan itu sama dengan rekod pendaftarannya sehingga Januari 2013. MOH menyatakan ia kemudian bekerjasama dengan "pihak-pihak relevan" untuk melumpuhkan akses kepada maklumat itu.

Brochez sedang disiasat polis dan pihak berkuasa Singapura sedang mendapatkan bantuan dari rakan-rakan sejawatan di luar negara, menurut MOH.

Pada Jun 2016, Ler didakwa atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi. Pada Sep 2018, dia didapati bersalah kerana bersubahat dengan Brochez untuk melakukan penipuan dan memberi keterangan palsu kepada polis dan MOH. Ler dijatuhi hukuman penjara selama 24 bulan. Rayuannya dijadualkan didengar pada Mac tahun ini.

Ler juga didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana gagal melindungi maklumat sulit para pesakit positif-HIV. Dakwaan itu sedang menanti perbicaraan di mahkamah.

"MOH memandang serius insiden seperti ini, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap para kakitangan dan individu yang menyalahgunakan kuasa dan akses kepada maklumat sulit, atau gagal menguruskan maklumat seperti itu secara teratur," menurut MOH.

LANGKAH PERLINDUNGAN BARU DAFTAR PESAKIT

Sejak 2016, langkah-langkah perlindungan baru dilaksanakan bagi memastikan kakitangan-kakitangan yang mempunyai kebenaran, tidak salah menguruskan maklumat, tambah MOH.

Proses memuat turun dan mendapatkan maklumat dalam daftar kini memerlukan kelulusan dua orang. Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan data tidak boleh diakses hanya seseorang sahaja. Sebuah stesen kerja juga dikhususkan dan dikunci bagi memastikan maklumat tidak dipindahkan tanpa kebenaran bagi melindungi lebih baik maklumat sensitif dalam Daftar HIV.

Penggunaan peranti simpanan mudah alih yang tidak mendapat kebenaran pada komputer-komputer rasmi juga dihentikan MOH pada 2017, sebagai sebahagian daripada dasar menyeluruh pemerintah.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan