Images
  • scdf (1)
    Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood. (Gambar: Jeremy Long)

Staf Sarjan Nur Fatwa beri keterangan di mahkamah berhubung kematian NSF Kok Yuen Chin

SINGAPURA: Pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang menolak anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) Kok Yuen Chin ke dalam perigi pam di stesen bomba dan menyebabkan kematiannya, memberikan keterangan di mahkamah pada Selasa (11 Jun).

Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood, 34, memberi testimoni dalam perbicaraan pendakwaan terhadap Komander Rota Leftenan Kenneth Chong Chee Boon, 38 tahun, dan Timbalan Komander Pegawai Waran Kanan Pertama Nazhan Mohamed Nazi, 41 tahun.

Kedua-dua lelaki itu sedang mencabar dakwaan mengakibatkan kecederaan berat ke atas Korporal Kok, 22 tahun, dengan tidak menghalang para pegawai di balai bomba apabila mereka memasukkan CPL Kok ke dalam perigi pam.


Nazhan Mohamed Nazi dan Kenneth Chong Chee Boon. (Gambar: Jeremy Long)

Menurut Staf Sarjan Fatwa, yang kini di bawah perintah tahanan dalam rumah sebagai sebahagian hukuman satu tahun empat bulan yang dijatuhi Oktober tahun lalu, CPL Kok disukai oleh para pegawai lain dan dia menganggap mendiang sebagai seorang rakan.

Menurutnya lagi, pada hari insiden, CPL Kok kelihatan tersenyum apabila diberitahu tentang "kolam", yang merujuk kepada acara memasuki perigi pam sedalam 12 meter.

Pihak pendakwa menunjukkan siri petikan video kepada Staf Sarjan Fatwa yang menunjukkan Cpl Kok tersenyum semasa meraikan hari terakhir khidmatnya (ORD) pada 13 Mei di Balai Bomba Tuas View, dituruti oleh video yang menunjukkan Cpl Kok diangkat oleh sekumpulan anggota bomba ke perigi itu malam itu.

Staf Sarjan Fatwa, yang kelihatan lebih kurus berbanding pertama kali dihadapkan ke mahkamah, memberitahu mahkamah bahawa 1SWO Nazhan dan LTA Chong berada dalam bilik kawalan semasa CPL Kok memotong kek dan menerima plak.

Apabila Staf Sarjan Fatwa memberitahu CPL Kok "mari, pergi kolam", CPL Kok tersenyum dan memberitahu "tidak, Encik" - gelaran yang digunakan untuk merujuk kepada seorang pegawai yang berpangkat lebih tinggi.

Semasa gurauan berlaku di bilik kawalan, LTA Chong dan 1SWO Nazhan tidak berbuat atau berkata apa-apa.

Staf Sarjan Fatwa berkata semasa CPL Kok dibawa dari bilik kawalan ke perigi pam pada jam 9.00 malam, dia "yakin" CPL Kok akan secara sukarela memasuki perigi itu.

LTA CHONG BERI ARAHAN JANGAN RAKAM INSIDEN

Rakaman yang ditayangkan di mahkamah menunjukkan sekitar 10 lelaki berada dekat dengan perigi itu mengangkat tangan dan menunjukkan telefon masing-masing.

Menurut Staf Sarjan Fatwa, ini sebagai respons kepada arahan LTA Chong untuk tidak merakam insiden itu. Namun dia tidak ingat dengan tepat kata-kata yang digunakan LTA Chong.

Sebelum 1SWO Nazhan meninggalkan tempat kejadian, beliau kelihatan mengangkat tangan dekat dengan perigi. Staf Sarjan Fatwa menerangkan beliau melakukan demikian semasa memberitahu CPL Kok untuk memasuki perigi itu dari bahagian tepi perigi jika mendiang tidak pandai berenang.

Staf Sarjan Fatwa, yang akan dibebaskan lebih awal pada Julai, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu CPL Kok tidak tahu berenang.


Dia menambah bahawa tiada orang yang cuba menghalang aktiviti itu. Jika LTA Chong atau 1SWO Nazhan mengarahkannya untuk berhenti, dia akan berhenti kerana mereka adalah pegawai atasannya, katanya lagi.

'KAMI PANIK, SAYA SELAM TAPI AMAT SUKAR'

Selepas dia dilihat menolak CPL Kok ke dalam perigi selepas mendakwa disuruh melakukan demikian oleh seorang lagi tertuduh Pegawai Waran Pertama Mohamed Farid Mohd Saleh, para anggota bomba itu kelihatan bergegas menanggalkan but masing-masing.

"Kami mula cemas," kata Staf Sarjan Fatwa. "Kerana CPL Kok tidak timbul-timbul."

Dia menambah, para anggota yang terjun ke dalam perigi untuk mencari CPL Kok termasuk 1WO Farid, CPL Sok Leng dan dirinya sendiri.

Seorang pegawai lain akhirnya berjaya membawa Cpl Kok naik ke permukaan, namun mendiang kemudian meninggal dunia di hospital.

SAKSI DIHANTUI MIMPI BURUK, RASA BERSALAH

Apabila disoal oleh peguam bela LTA Chong, Encik Wee Pan Lee, Staf Sarjan Fatwa mengaku kerap mengigau berhubung insiden tersebut dan mengalami insomnia.

Dia juga berasa bersalah dan mendapatkan khidmat seorang ahli psikiatri. Namun Timbalan Pendakwa Raya Kumaresan Gohulabalan membantah dan berkata peguam bela cuba mendiagnos saksi di mahkamah.

Peguam itu juga menyoal keupayaan Staf Sarjan Fatwa untuk mengingati insiden tanpa bantuan video yang ditunjukkan. Staf Sarjan Fatwa bertegas berupaya berbuat demikian.

Perbicaraan dijadual berakhir pada 21 Jun.

Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan berat akibat tindakan terburu-buru, para pegawai Komander berkenaan boleh dihukum penjara empat tahun, didenda S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain Staf Sarjan Fatwa, Staf Sarjan Adighazali Suhaimi juga sudah dijatuhi hukuman sebulan penjara.

Juga dijadual dihadapkan ke mahkamah ialah 1WO Farid.

- CNA/TQ/tq

Top