Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

St John's Island, Pulau Hantu bebas asbestos: SLA

Semua kerja-kerja pembersihan asbestos di St John's Island atau Pulau Sekijang Bendera dan Pulau Hantu selesai dijalankan, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) hari ini (29 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Mar 2019 04:46PM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 01:16AM

SINGAPURA: Semua kerja-kerja pembersihan asbestos di St John's Island atau Pulau Sekijang Bendera dan Pulau Hantu selesai dijalankan, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) hari ini (29 Mac).

SLA menambah, tapak perkhemahan di St John's Island akan dibuka semula pada bulan Jun.

Perkara itu diumumkan setahun selepas asbestos dikesan di St John's Island oleh kontraktor SLA semasa menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan naik taraf.

Seorang juruukur yang dilantik SLA mengesahkan pada April tahun lalu bahawa asbestos dikesan dalam sampel serpihan yang dihantar untuk ujian pada 19 Mac.

Laluan jejak alam, tapak perkhemahan, lagun dan kawasan banglo percutian di pulau itu antara kawasan-kawasan yang dikepung dan orang ramai dilarang masuk.

Asbestos turut dikesan di Pulau Kusu dan Pulau Hantu tetapi bukan di Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island), Pulau Seringat dan Pulau Kias.

Pulau Kusu disahkan bebas asbestos pada September lalu dan dibuka semula kepada orang ramai, menurut SLA dalam kenyataan medianya hari ini (29 Mac).

"SLA sudah menyelesaikan kerja-kerja pembersihan asbestos di St John's Island dan Pulau Hantu, dan kedua-dua pulau akan dibuka semula sepenuhnya kepada orang ramai," tambah SLA. 

"Dengan ini, sisa asbestos di pulau-pulau yang diuruskan SLA sudah dihapuskan dengan selamat."

Kerja-kerja naik taraf dan penyenggaraan di tapak-tapak perkhemahan kini di "tahap akhir dan dijadualkan selesai pada hujung Mei 2019", tambah SLA.

Bekas Tapak Perkhemahan dan Banglo Percutian St John's Island sudah dinamakan semula sebagai St John's Island Lodge dan kemudahan-kemudahan bagi mereka yang ingin menginap di pulau itu akan dibuka kepada orang ramai pada 1 Jun, menurut SLA, sambil menambah bahawa tempahan penginapan akan dibuka untuk "meningkatkan akses dan menggalak orang ramai mengunjungi pulau itu".

Asbestos adalah bahan semula jadi yang biasa digunakan sebagai bahan binaan pada masa lalu. Penggunaan asbestos bagaimanapun diharamkan di Singapura sejak 1989 disebabkan risiko kesihatan.

Asbestos juga dikesan di Pulau Ubin dan Pulau Sabar Laut atau Big Sister's Island yang diuruskan NParks, tetapi ia sudah dihapuskan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan