Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SPF pamerkan keupayaan menentang pengganasan menjelang NDP 2019

Jeritan dan tembakan senjata memenuhi ruang udara pada awal pagi, sedang Pasukan Polis Singapura (SPF) mempamerkan keupayaan mereka menentang pengganasan dalam latihan keselamatan di Padang menjelang Hari Kebangsaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2019 03:18PM Dikemas Kini : 08 Aug 2019 12:28PM

SINGAPURA: Jeritan dan tembakan senjata memenuhi ruang udara pada awal pagi, sedang Pasukan Polis Singapura (SPF) mempamerkan keupayaan mereka menentang pengganasan dalam latihan keselamatan di Padang menjelang Hari Kebangsaan.

Lebih 200 pegawai dari Divisyen Polis Clementi, Komand Keselamatan Pengangkutan Awam (TransCom), Komand Operasi Khas, Kontinjen Gurkha dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengambil bahagian dalam latihan pada Jumaat (2 Ogos).

Tiga senario serangan oleh para penyerang bersenjatakan pisau dan senjata api, dijalankan semasa latihan keselamatan bagi "menguji respons kepada serangan pengganas", menurut SPF dalam kenyataan medianya.

Senario pertama melibatkan para pegawai TransCom menjatuhkan para penyerang bersenjatakan pisau di sebuah stesen MRT yang sesak.

Pada 2.30 pagi, satu "pergaduhan" tercetus di stesen MRT City Hall antara seorang penumpang dengan seorang lelaki bersenjatakan pisau.

Dua pegawai TransCom berjaya menahan lelaki itu meskipun dia menyerang mereka, tetapi penyerang kedua menjadikan seorang penumpang lain sebagai tebusan - sebelum dia ditewaskan oleh dua lagi pegawai TransCom.

Senario kedua dan ketiga diadakan di Padang, iaitu simulasi serangan pengganas semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Para penonton yang memakai baju merah dan putih sedang melambai-lambai bendera kecil Singapura dari tempat duduk apabila kedengaran bunyi tembakan di udara. Tiga lelaki bersenjata menembak beberapa orang awam sebelum para responder pertama SPF - Pasukan Respons di Tempat Kejadian - segera muncul dalam seragam penuh.

Para pegawai itu kemudian menuju ke tempat duduk sebelum menewaskan ketiga-tiga lelaki bersenjata itu dalam masa beberapa minit.

Senario itu kemudian beralih ke tempat duduk penonton bertentangan Padang.

Kali ini, terdapat empat lelaki bersenjata yang muncul di kawasan itu. Beberapa penonton ditembak, manakala yang lain menjerit dan menyembunyikan diri mereka.

Seramai 20 pegawai dari Pasukan Pengerahan Pantas, Pasukan Serangan Bersenjata dan Kontinjen Gurkha tiba dengan empat Motosikal Respons Taktikal dan dua Kenderaan Kakitangan Berperisai. Mereka memasuki kawasan tempat duduk dari aras bawah dan menembak dua lelaki bersenjata itu.

Dari bahagian atas, lebih ramai pegawai dari Unit Taktik dan Penyelamat Khas mengepung dua lelaki bersenjata itu.

Sebaik saja kesemua lelaki bersenjata sudah ditangani, para pegawai mengepung kawasan tempat duduk dan menunggu SCDF tiba dan memberi perhatian kepada mereka yang cedera.

Ketiga-tiga simulasi serangan itu dijalankan di bawah pemantauan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Pada Khamis, polis mengisytiharkan NDP tahun ini sebagai "acara khas keselamatam yang ditingkatkan" di bawah Akta Perintah Awam, dengan mengepung kawasan di sekitar Padang dengan langkah-langkah keselamatan yang ditingkatkan.

Dalam kawasan acara khas itu, terdapat zon khas dengan pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat. Langkah-langkah keselamatan yang ditingkatkan ini dijangka berkuat kuasa dari tengah malam hingga 11.59 malam pada 9 Ogos.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan