Images
  • transcom madrasah
    Para pegawai TransCom dilihat berbual dengan pelajar madrasah (Gambar: Facebook)

SPF, Al-Ma'arif bidas catatan palsu dakwa anggota TransCom periksa pelajar Madrasah

SINGAPURA: Catatan online baru-baru ini yang mendakwa bahawa para pegawai TransCom memeriksa dua pelajar Madrasah kerana para pegawai polis itu ada "kuota untuk dipenuhi", bertujuan mengapi-apikan sentimen perkauman yang tidak perlu.

Dakwaan seperti itu adalah "palsu" dan "tidak bertanggungjawab", menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu catatan Facebook pada Selasa (16 Jul).

SPF merujuk kepada gambar yang tular di media sosial baru-baru ini yang menunjukkan para pegawai Kawalan Keselamatan Pengangkutan Awam SPF sedang berinteraksi dengan dua pelajar perempuan dari madrasah.

SPF menjelaskan bahawa kedua-dua pelajar itu bukan diperiksa dan sebaliknya sedang didampingi oleh pegawai TransCom berhubung inisiatif Riders-On Watch (ROW) yang baru dilancarkan pada Julai.

"Kami gembira untuk berkongsi bahawa kedua-dua pelajar itu bersetuju menjadi sukarelawan ROW untuk membantu menjadikan rangkaian pengangkutan awam Singapura selamat," menurut SPF.

HORMATI PRIVASI PELAJAR KAMI: MADRASAH AL-MA'ARIF

Awal daripada itu, Madrasah Al-Ma'arif Al Islamiah sendiri tampil menjelaskan tanggapan salah yang menjadi tular itu.

"Kami dimaklumkan bahawa gambar para pelajar kami ditularkan secara tidak bertanggungjawab di media sosial dan spekulasi dibuat berhubung interaksi tersebut (dengan pegawai polis). Kami mahu menjelaskan bahawa keadaan sebenar gambar tersebut," tulis madrasah tersebut di Facebook pada Selasa.


Madrasah tersebut menjelaskan bahawa para pelajar berkenaan didekati oleh pegawai TransCom semasa menuju ke sekolah dan diajak untuk menyertai daya usaha ROW. Bukan untuk diperiksa.

"Kami berbangga dengan sifat pemikiran sivik dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat yang ditunjukkan pelajar kami."

Menyifatkan penularan gambar "di luar konteks" itu sebagai "tidak bertanggungjawab", Madrasah Al-Ma'arif turut membuat rayuan: "Kami merayu kepada orang awam supaya membantu dengan menghentikan spekulasi lanjut atau perkongsian gambar secara tidak bertanggungjawab demi menghormati privasi para pelajar kami".

PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG SAKSAMA: AMRIN AMIN

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin turut mengulas mengenai tuduhan yang diterima pasukan TransCom itu, dalam catatan beliau di Facebook pada lewat Selasa (16 Jul) .

Beliau menyindir bahawa jika seseorang memakai kaca mata merah, maka "merahlah yang akan dilihatnya".

"Para pelajar perempuan madrasah itu berbual dengan pegawai polis. Ada yang melihatnya sebagai pegawai polis menyasarkan remaja Muslim untuk menjalani pemeriksaan keselamatan. Hakikatnya? Mereka sedang berbual tentang Riders-On Watch, satu inisiatif yang saya lancarkan pada Selasa (2 Jul) yang mendapatkan bantuan orang awam untuk memantau orang-orang atau barang yang diragui, dan menghubungi polis," kata Encik Amrin.


Selain kejadian melibatkan para pelajar madrasah itu, Encik Amrin juga merujuk kepada catatan tular baru-baru ini yang mendakwa para anggota TransCom menyasarkan warga Melayu.

Sebenarnya, menurut beliau, majoriti orang yang diperiksa oleh pasukan tersebut ketika itu, adalah orang-orang bukan Melayu.

"Perlaksanaan undang-undang tidak kenal bangsa di Singapura. Ini amat berharga. Khabar angin bersifat hasad yang menanam kesangsian terhadap sifat berkecuali pihak polis perlu dibidas, penyebarnya perlu dimalukan," beliau memberi amaran.

Dalam pada itu beliau juga merakamkan rasa bangga dengan sifat rasional yang rata-rata ditunjukkan warga Singapura yang "mementingkan kebenaran".

"Semua orang, termasuk masyarakat Melayu Singapura, tidak teragak-agak untuk bersatu teguh menolak kepalsuan yang menghakis nilai-nilai yang dipegang," kata Encik Amrin.

"Insiden-insiden baru-baru ini bukan yang terakhir. Cara kita bertindak balas menunjukkan perwatakan kita dan membayangkan nilai yang dipegang." 

- BERITAmediacorp/tq

Top