Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Spekulasi tidak berasas' mengenai pelantikan dalam CEC PAP mungkin 'tidak tepat', kata K Shanmugam

'Spekulasi tidak berasas' mengenai pelantikan beliau dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Rakyat (PAP) mungkin 'tidak tepat', kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
'Spekulasi tidak berasas' mengenai pelantikan dalam CEC PAP mungkin 'tidak tepat', kata K Shanmugam

Menteri Grace Fu, menteri K Shanmugam, Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong dan menteri Chan Chun Sing di Persidangan PAP pada 11 November. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Nov 2018 12:17PM Dikemas Kini : 13 Nov 2018 01:07PM

SINGAPURA: 'Spekulasi tidak berasas' mengenai pelantikan beliau dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Rakyat (PAP) mungkin 'tidak tepat', kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Encik Shanmugam berkata demikian sebagai respons terhadap laporan-laporan media yang memberi gambaran bahawa beliau mungkin dilantik sebagai penolong setiausaha agung PAP atau timbalan perdana menteri.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Shanmugam berkata: "Saya difahamkan spekulasi itu adalah berdasarkan gambar yang dipetik di persidangan parti dan tempoh perkhidmatan saya.

"Namun penilaian itu adalah berdasarkan gambar yang dipetik pada masa itu dan bukan berdasarkan pemahaman mendalam mengenai bagaimana PAP beroperasi dan bagaimana peralihan dijalankan."

"Saya sudah mengatakan pada Ahad (11 Nov), sebagai respons kepada pertanyaan mengenai sama ada saya akan menjadi salah seorang penolong setiausaha agung, bahawa CEC harus memutuskan perkara itu tetapi saya berpendapat pelantikan itu harus mencerminkan masa hadapan dan bukan setakat satu peralihan," kata Encik Shanmugam.

"Oleh itu, spekulasi tersebut mungkin adalah kurang tepat."

Pada Ahad (11 Nov), 12 anggota PAP dilantik ke dalam CEC iaitu Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Encik Shanmugam, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Kewangan Heng Swee Keat, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, serta kedua-dua Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah dan Ng Chee Heng serta Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo turut dilantik untuk menganggotai CEC.

Persidangan PAP diperhatikan dengan teliti bagi sebarang gambaran mengenai kepimpinan politik Singapura yang seterusnya.

Kedua-dua timbalan perdana menteri Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam, yang juga penolong setiausaha agung PAP, sudah mengundurkan diri daripada jawatan mereka. Ini sekaligus menimbulkan spekulasi mengenai siapakah yang akan mengambil alih jawatan mereka.

Para penganalisis sebelum ini mengatakan bahawa jawatan penolong setiausaha agung mungkin diambil alih oleh seorang atau dua daripada menteri yang dikenal pasti bagi jawatan perdana menteri - iaitu Encik Ong, Encik Heng dan Encik Chan. Terdapat juga bayangan bahawa salah satu jawatan itu mungkin diberikan kepada Encik Shanmugam.

Para menteri lain yang turut mengundurkan diri daripada CEC termasuk Menteri Penyelaras bagi Prasarana Khaw Boon Wan, yang juga pengerusi parti itu, serta mantan menteri Kabinet Lim Swee Say dan Dr Yaacob Ibrahim.

Semasa persidangan parti itu, Encik Lee Hsien Loong berkata PAP sedang mengambil "mengambil langkah besar dalam proses pembaharuan politik".

Encik Lee berkata menyusuli proses pemilihan itu, CEC baru akan bertemu dalam masa "beberapa minggu akan datang" bagi melantik para penyandang jawatan baru, disusuli dengan perubahan pada barisan Kabinet. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan