Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sound of Kindness bantu pesakit demensia 'ingat semula' kenangan manis masa lalu menerusi muzik

Pergerakan Baik Budi Singapura mengiktiraf 2 inisiatif masyarakat atas sumbangan kepada usaha membina masyarakat yang lebih prihatin.

Anggaran Waktu Membaca:
Sound of Kindness bantu pesakit demensia 'ingat semula' kenangan manis masa lalu menerusi muzik

Sound of Kindness (Gambar ihsan: Samuel Law)

Diterbitkan : 06 Jun 2021 08:33PM Dikemas Kini : 06 Jun 2021 08:37PM

SINGAPURA: Sebanyak 14 inisiatif masyarakat menerima pengiktirafan Kumpulan Semangat Setia Kawan oleh Pergerakan Baik Budi Singapura (Singapore Kindness Movement) pada Jumaat (21 Mei) atas sumbangan inisiatif-inisiatif tersebut terhadap usaha membina sebuah masyarakat yang baik hati.

Majlis pengiktirafan yang diadakan melalui persidangan video Zoom itu adalah sebahagian daripada sambutan Hari Baik Budi SG 2021.

Antara yang diiktiraf adalah sekumpulan sukarelawan yang mengasaskan gerakan The Sound of Kindness.

Para sukarelawan itu akan berkunjung ke rumah warga emas yang mengalami kemurungan, demensia dan angin ahmar untuk bermain muzik menggunakan Soundbeam.

Soundbeam adalah sejenis teknologi baru yang merakam pergerakan manusia dan mengubahnya menjadi bunyi-bunyian.

Program itu diasaskan oleh Encik Samuel Law, 22 tahun, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) bersama dengan Cik Lisa Tan Mei Yung, 44 tahun, penolong pengarah kanan Reben Kuning Singapura (YRSG).

Nenek Encik Law yang mengalami kemurungan dan menghidap demensia tiba-tiba bangkit dan menari apabila mendengar muzik yang dihasilkannya itu.

"Kita boleh lupa banyak perkara tetapi muzik adalah perkara terakhir yang akan mereka lupakan," kata Encik Law. Muzik, menurut Encik Law, membantu kita mengembalikan kenangan masa lalu dan menaikkan semangat kita, menurut Encik Law.

SAHABAT PENA DAMPINGI WARGA EMAS

Satu lagi gerakan yang diiktiraf oleh Pergerakan Baik Budi Singapura ialah 'Penpals in the Community'. Para sukarelawannya mendampingi warga emas menerusi kiriman surat.

Gerakan tersebut diasaskan oleh Cik Valerie Ho, 28 tahun, seorang penganalisis pasaran yang gemar menulis surat kepada rakan-rakannya.

Cik Ho memulakan "Penpals in the Community" pada September tahun lalu setelah beliau melihat sendiri betapa sukarnya untuk warga emas menyesuaikan diri dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan dan ini diburukkan lagi dengan mereka tidak dapat keluar rumah untuk menjalani kegiatan-kegiatan yang kerap dilakukan sebelum Singapura dilanda pandemik COVID-19.

Cik Ho bekerjasama dengan pelbagai pusat kegiatan dan pusat jagaan warga emas serta inisiatif-inisiatif masyarakat yang lain untuk menggandingkan warga emas dengan para sukarelawan belia yang direkrut menerusi laman Instagram @penpalsinthecomm.

Sebelum Singapura memasuki Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada 16 Mei, Cik Ho menganjurkan pertemuan bertemu muka dan panggilan video supaya sahabat-sahabat pena itu dapat beramah mesra antara satu sama lain.

"Saya berharap ia akan menggalak golongan belia untuk meluangkan lebih banyak masa dengan anggota keluarga mereka sendiri yang lanjut usia," ujar Cik Ho.

Tetamu Terhormat acara tersebut, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata acara-acara yang dianjurkan sepanjang tahun lalu menekankan betapa pentingnya untuk rakyat Singapura " mendampingi dan membantu satu sama lain, bersikap saling memahami dan belas ihsan serta bersatu padu demi kemaslahatan bersama".

Encik Tong menambah: "Marilah kita mengingatkan diri kita bahawa kita perlu berbuat baik antara satu sama lain dan ia harus dijadikan sebagai pegangan hidup kita setiap hari."

Sumber : Today/ZM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan