Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan padu keluarga, peluang perkasa diri di tempat kerja tunjang wanita cemerlang

Hakikatnya, mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga bukanlah satu perkara mudah, terutama sekali bagi kaum wanita. Namun, ia tidak mustahil.

Anggaran Waktu Membaca:
Sokongan padu keluarga, peluang perkasa diri di tempat kerja tunjang wanita cemerlang

Norfasarie Mohd Yahya (kiri), Sulaimah Mahmood. (Gambar: Norfasarie/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 05 Sep 2021 10:32PM Dikemas Kini : 05 Sep 2021 10:42PM

SINGAPURA: Hakikatnya, mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab kepada keluarga bukanlah satu perkara mudah, terutama sekali bagi kaum wanita. Namun, ia tidak mustahil.

Banyak contoh wanita berkerjaya - tanpa mengira apa jua bentuk pekerjaan mereka - membuktikan bahawa sekiranya ada sokongan yang padu, mereka pasti dapat memainkan peranan mereka dengan cemerlang.

Misalnya, Cik Sulaimah Mahmood, seorang tokoh begitu berpengaruh dalam landskap perdagangan Singapura. Kerjayanya sebagai Pengarah Kanan di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Divisyen ASEAN , menuntut masa dan dedikasi luar biasa.

Ketua Perunding RCEP, Sulaimah Mahmood. (Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Wanita berusia 63 tahun itu, yang sudah lebih 30 tahun memikul tanggungjawab yang besar dan mencabar dalam rundingan perdagangan, juga merupakan Ketua Perunding Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) Singapura dan memimpin pasukan hampir seramai 50 pegawai daripada pelbagai agensi negara ini.

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

Bagi Cik Sulaimah, aturan-aturan yang dilaksanakan di tempat kerjanya sangat menyokong pembangunan dan kemajuan wanita.

“Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengamalkan budaya mesra keluarga. Ia berpegang teguh kepada nilai-nilai mesra keluarga dan menjaga kakitangannya tanpa mengira jantina. Kami memberi peluang untuk menjalankan tugas di luar negara kepada pekerja yang layak, termasuk wanita yang sudah berkahwin yang ada atau tidak ada anak.

“Aturan bekerja dari rumah dan waktu kerja fleksibel sudah dilaksanakan sebelum pandemik lagi untuk membolehkan para pekerja menjaga anak yang sakit, ibu bapa yang sudah tua atau orang-orang tersayang jika perlu,” kongsi Cik Sulaimah.

SUAMI “PENYOKONG PALING KUAT”

Selain itu, sokongan utuh keluarga Cik Sulaimah menjadi pembakar semangat untuk beliau terus mencapai aspirasi dalam kerjayanya di samping meluangkan masa bermutu dengan mereka. Beliau menyifatkan suaminya sebagai “penyokong paling kuat”.

“Tanpa sokongan suami, saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang. Beliau faham apa tuntutan kerjaya saya, memahami bahawa kami berdua masih dua individu yang mempunyai idea, impian dan pandangan berbeza. Maka kami saling menghormati keperluan masing-masing,” tambah Cik Sulaimah, seorang ibu dengan dua orang anak.

Ketua Perunding RCEP, Sulaimah Mahmood bersama sebahagian anggota pasukannya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Bagi Cik Sulaimah, yang paling penting bukan berapa banyak masa yang diluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan. Sebaliknya, mutu waktu yang menjadi keutamaan beliau. Ini bermakna, beliau akan memanfaatkan waktu-waktu terluang untuk berbual dengan keluarga semasa waktu makan atau menonton wayang dan berjalan-jalan pada hujung minggu.

WANITA PERLU UTAMAKAN DIRI SENDIRI TERLEBIH DAHULU

Begitu juga bagi pengasas perniagaan rawatan kecantikan dan kesejahteraan diri, Moza Aesthetics, Norfasarie Mohd Yahya.

(Gambar: Norfasarie Mohd Yahya)

Usahawan yang juga seorang ibu kepada empat orang anak itu, sangat bersyukur kerana mempunyai “sokongan yang sangat kuat” di rumah yang membolehkan beliau terus menguruskan perniagaannya, menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu serta mempunyai ruang untuk dirinya sendiri.

“Saya rasa sangat penting untuk wanita, para ibu berkerjaya mempunyai sistem sokongan yang kuat dan sentiasa mendapatkan bantuan jika mereka perlukannya.

Selebriti, usahawan tempatan Norfasarie, bersama suami Baihakki dan 3 anak mereka. (Gambar: Norfasarie)

(Gambar: Norfasarie Mohd Yahya)

“Saya selalu tekankan bahawa sebagai wanita, sebagai ibu atau bagi yang belum berumah tangga sekalipun, sentiasa utamakan diri anda. Jaga diri anda terlebih dahulu, sayangi diri anda terlebih dahulu. Barulah selepas itu anda akan dapat menyayangi orang lain dan memberikan aura positif kepada orang lain,” kata Norfasarie.

(Gambar: Norfasarie Mohd Yahya)

Sebagai pengasas perniagaan yang menggajikan pekerja wanita, Norfasarie akur setiap daripada mereka mempunyai keperluan masing-masing. Maka itu, sebagai bos wanita, Norfasarie cuba meletakkan dirinya dalam situasi mereka dan cuba memahami.

“Saya biasanya beri keutamaan kepada mereka yang sudah berkeluarga atau yang mahu memulakan keluarga. Bagi yang masih muda, yang belum lagi ingin berumah tangga, saya selalu beritahu mereka inilah masanya untuk mereka tetapkan matlamat, kerja dengan betul dan cari hala tuju mereka,” ujar Norfasarie.

GALAK KAKITANGAN TANAM AZAM, VISI KE TAHAP LEBIH TINGGI

Beliau juga mengambil pendekatan yang menggalak para pekerjanya menanam azam dan visi untuk mengembangkan kerjaya mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya selalu beritahu mereka bahawa mereka tidak boleh selama-lamanya nak jadi pakar estetik peringkat junior sahaja, tak boleh selama-lamanya nak jadi pakar kecantikan sahaja. Jika mereka satu hari nanti tinggalkan syarikat ini, saya mahu mereka menjadi seseorang yang lebih baik. Mana tahu, mungkin satu hari nanti mereka mulakan perniagaan sendiri pula,” tambah Norfasarie, yang mempunyai lima kakitangan.

(Gambar: Norfasarie Mohd Yahya)

Dengan pendekatan sedemikian, maka tidak hairanlah apabila para pekerja Moza Aesthetics kebanyakannya ‘membesar’ bersama syarikat itu.

Salah seorang daripadanya, Nur Izzaty Mohd Noor, memulakan kerjayanya sebagai seorang pelatih amali sebelum menjadi pekerja sambilan dan kemudian pekerja sepenuh masa. Selepas enam tahun di Moza Aesthetics, Nur Izzaty kini menyandang jawatan sebagai pakar estetik kanan (Senior Aesthetician).

(Gambar: Nur Izzaty Mohd Noor)

Menurut Nur Izzaty, baik di tempat kerja mahupun di rumah, sokongan-sokongan yang diterima sangat membantu, lebih-lebih lagi beliau juga merupakan ibu kepada seorang anak.

Di tempat kerja, beliau dan rakan-rakan sekerjanya sering kali berpeluang menimba kemahiran-kemahiran baru menerusi latihan-latihan bagi khidmat-khidmat rawatan baru yang ingin ditawarkan kepada pelanggan. Ini selain mempunyai majikan yang fleksibel dalam menyusun jadual kerja mengikut keperluan supaya mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga juga.

“Ibu mentua saya akan membantu menjaga anak saya. Sokongan sangat penting. Jika kita tidak ada sokongan kadangkala boleh membawa tekanan. Misalnya, jika tiada yang menjaga anak kita, macam mana nak kerja? Jadi sokongan keluarga sangat penting,” menurut Nur Izzaty.

WANITA BERKELUARGA MAMPU MAINKAN PERANAN PEMIMPIN DI TEMPAT KERJA

Apabila diminta nasihat mereka untuk para wanita berkeluarga memainkan peranan kepimpinan di tempat kerja, Cik Sulaimah berkata mereka perlu jujur kepada diri sendiri dan pilih kerjaya yang benar-benar diminati dan berikan tumpuan. Jika mereka mahukan perubahan, mereka perlu aktif menanganinya dan berbincang dengan pembimbing atau penyelia mereka.

Ketua Perunding RCEP, Sulaimah Mahmood bersama sebahagian anggota pasukannya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp)

Mereka juga harus menimba kemahiran yang diperlukan untuk menggarap peranan baru dalam kepimpinan. Penting untuk memenuhi dan menjangkaui jangkaan-jangkaan bagi peranan tersebut.

Norfasarie pula percaya, kaum wanita berkebolehan untuk memainkan peranan kepimpinan. Menurut beliau, wanita sangat bagus dalam menjalankan pelbagai tugas serentak.

“Memainkan peranan kepimpinan hanyalah satu lagi peranan. Saya rasa peranan kepimpinan itu bukan setakat untuk kerjaya. Kalau kita lihat dari perspektif yang lebih luas, biasanya suami akan keluar bekerja. Apabila itu berlaku, peranan kepimpinan itu beralih kepada isteri untuk menjaga rumah. Jadi peranan kepimpinan di tempat kerja juga begitu - iaitu satu lagi peranan yang perlu dimainkan,” kata beliau.

(Gambar: Norfasarie Mohd Yahya)

SERTAI GERAKAN #CelebratingSGWomen

Di Singapura, kaum wanita juga sudah memperlihatkan kemajuan besar dengan adanya sokongan-sokongan Pemerintah serta anggota masyarakat secara amnya.

Sekalipun demikian, masih banyak yang boleh dilakukan untuk menyokong kaum wanita dari segenap lapisan masyarakat untuk mencapai aspirasi dan terus berusaha untuk memastikan undang-undang dan dasar-dasar maju dan bergerak seiring dengan peredaran masa.

Lungsuri go.gov.sg/CelebratingSGWomen untuk mengetahui lebih lanjut tentang gerakan yang menyokong dan meraikan wanita.

Dapatkan lebih banyak maklumat tentang tahun 2021 yang telah dikhaskan sebagai Tahun Merai Wanita SG dan ketahui bagaimana anda boleh menjadi sebahagian daripada gerakan itu.

Anda juga boleh menunjukkan sokongan kepada para wanita SG dengan mengambil bahagian dalam gerakan #MakeTheNorm. Kami mempelawa anda berkongsi kisah bagaimana anda berjaya merubah norma jantina di rumah dan/atau di tempat kerja menerusi wadah media sosial anda. Contohnya, termasuk bagaimana:

  • Anda dan pasangan saling mendukung satu sama lain untuk memainkan peranan berkongsi tanggungjawab menjaga anak dan melakukan kerja rumah,
  • Anda memastikan peluang-peluang bimbingan dan kemajuan diberikan sama rata kepada rakan-rakan sekerja wanita,
  • Anda memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk terus menghormati wanita dengan menyifatkan mereka setaraf dengan anda.

Anda juga boleh ‘tag’ kawan-kawan dan rakan-rakan kerja untuk menggalak mereka mengambil bahagian dan berkongsi bagaimana mereka #MakeTheNorm dan #CelebratingSGWomen.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan