Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sokongan menyeluruh diperlukan untuk keluarga terjejas oleh COVID-19: Presiden Halimah

Pandemik COVID-19 membawa pelbagai kebimbangan baru dan tekanan kepada banyak keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 membawa pelbagai kebimbangan baru dan tekanan kepada banyak keluarga.

Ia termasuk kemungkinan kehilangan pekerjaan, potongan gaji di samping masalah membayar hutang dan memenuhi keperluan asas keluarga.

Oleh itu, penting bagi golongan yang terjejas untuk mendapat bantuan dan sokongan lebih awal.

Demikian ditekankan Presiden Halimah Yacob yang ditemui di akhir lawatannya ke pejabat AMP Singapura pagi tadi (20 Ogos).

(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)

Semasa lawatan selama 90 minit itu, Puan Halimah diberi taklimat mengenai pelbagai program perkhidmatan sosial kendalian badan bantu diri itu.

"Saya ingin melihat bagaimana keluarga-keluarga dapat bertahan dalam keadaan COVID-19 dan juga pada keseluruhannya," kongsi beliau.

Menurut Puan Halimah, ramai yang takut mereka akan kehilangan pekerjaan, bimbang pendapatan mereka dikurangkan dan sebagainya.

Beliau menasihati golongan itu supaya segera mendapatkan bantuan dari badan-badan seperti AMP Singapura.

"Ia merangkumi berbagai aspek seperti pendidikan anak-anak, bantuan bagi ibu bapa meningkatkan kemahiran, dan saya rasa yang amat penting juga bagi keluarga yang dibebani oleh hutang, membantu mereka melunaskan hutang mereka dengan cara yang mampan," gesa beliau.

Badan-badan Melayu/Islam kata beliau, harus memberikan keutamaan untuk membantu masyarakat dalam hal-hal tersebut kerana ia akan memastikan keperluan keluarga dijaga dengan baik.

Menurut AMP, ia menyaksikan permintaan bagi pelbagai perkhidmatan sosial kendaliannya meningkat sejak COVID-19 melanda.

(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)

"Kami lihat peningkatan sebanyak 13 peratus bagi mereka yang meminta untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan dari AMP. Umpamanya, mereka yang kekurangan kewangan akibat kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji atau mereka yang bertanyakan tentang masalah hutang dan juga hal ehwal perkahwinan," kata Saiful Nizam Jemain, Ketua Pekerja Khidmat Sosial, AMP Singapura.

Bagaimanapun, ia belum menyaksikan peningkatan besar dalam mereka yang dibebani hutang.

"Kami jangka ia akan meningkat pada masa yang akan datang ini kerana keadaan ekonomi dan juga semakin ramai mereka yang kehilangan pekerjaan. Masalah ini akan lebih serius. Jadi untuk klien-klien kami, kami sudah mula menyiapkan mereka dengan mengajar mereka tentang pengurusan kewangan yang lebih baik untuk menghadapi masa-masa sukar.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Mohammad Faizal Abdul Kadir yang menyertai Skim Keluarga Angkat & Belia (AFYS). 

"Ia memberi saya peluang untuk membuka minda saya bagaimana saya boleh simpan wang dan menjaga keluarga saya dengan baik di masa hadapan," kata beliau.

Seorang lagi klien ialah Cik Simah Mohamad yang dibantu Pusat Nasihat Hutang (DAC) AMP.

"Saya pernah pernah terjebak dengan mengambil hutang dari berbagai wadah. Mereka mengajar bagaimana untuk mengatasi masalah ini dan berhutang ini bukan satu penyelesaian. Ia membebankan lagi," kongsi beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan