Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SMRT rugi S$86 juta dek jumlah penumpang berkurangan, kos penyenggaraan lebih tinggi

Penyedia khidmat kereta api SMRT Trains mencatat kerugian bersih S$86 juta bagi tahun kewangan 2018 yang berakhir 31 Mac lalu, disebabkan berkurangnya jumlah penumpang dan kos penyenggaraan lebih tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
SMRT rugi S$86 juta dek jumlah penumpang berkurangan, kos penyenggaraan lebih tinggi

Gambar fail kereta api SMRT. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 02 Jul 2018 01:56PM Dikemas Kini : 02 Jul 2018 01:59PM

SINGAPURA: Penyedia khidmat kereta api SMRT Trains mencatat kerugian bersih S$86 juta bagi tahun kewangan 2018 yang berakhir 31 Mac lalu, disebabkan berkurangnya jumlah penumpang dan kos penyenggaraan lebih tinggi.

Jumlah kerugian itu menyusuli keuntungan selepas cukai sekitar S$26 juta yang dicatat pada tahun kewangan sebelumnya, menurut laporan terbaru semakan operasi tahunan yang dimuat naik ke lamannya semalam (1 Jul).

Hasil pendapatan SMRT Trains merosot dari S$791 juta kepada S$743 juta disebabkan jumlah penumpang yang berkurangan dan tambang purata lebih rendah, menurut syarikat itu. Jumlah penumpang turun dari 768 juta kepada 753 juta, dengan purata jumlah penumpang pada hari Isnin hingga Jumaat hanya 2,258, susut dari 2,353 penumpang pada tahun sebelumnya.

Perbelanjaan operasi, pada sisi yang lain, melonjak dari S$785 juta kepada S$838 juta. SMRT Trains menyatakan bahawa ini disebabkan perbelanjaan lebih tinggi bagi kerja-kerja penyenggaraan ke atas rangkaian kereta api yang semakin lapuk dan kerugian lebih tinggi pelupusan harta benda, kilang dan peralatan kereta api.

(Sumber: SMRT Trains)

2 DARIPADA 3 LALUAN KERETA API LEBIH MEMUASKAN

Ketua Pegawai Eksekutif SMRT Trains Lee Ling Wee ditukil sebagai berkata dalam laporan itu bahawa syarikat itu "mendapati tahap kepuasan para penumpang merosot tahun lalu".

Ini terutama sekali selepas pelancaran sistem isyarat baru pada pertengahan tahun 2017 dan dua insiden besar yang berlaku lewat tahun lalu, seperti kejadian banjir di terowong Bishan-Bradell.

"Menyusuli insiden banjir pada 7 Oktober, kami sudah mengetatkan lagi proses kerja dan pemeriksaan penyeliaan di pelbagai peringkat dalam syarikat, dan menggunakan sumber-sumber dengan lebih berkesan lagi dalam memastikan kerja-kerja pembaharuan dan penyenggaran dalam pengurusan prasarana dan kemudahan kami kembali mengikut jadual," kata Encik Lee.

Beliau juga menarik perhatian bahawa kebolehpercayaan penumpang lebih baik bagi dua daripada tiga laluan kereta api SMRT.

Antara April 2017 hingga Mac 2018, perjalanan purata antara gangguan khidmat (MKBF) Laluan Circle dan Laluan Timur-Barat semakin baik. MKBF mengukur kelengahan yang berlaku lebih daripada lima minit.

Purata MBKF bagi Laluan Circle bagi tempoh 12 bulan sehingga Mac 2018 adalah 665,000 kilometer, berbanding 281,800 kilometer bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. MBKF bagi Laluan Timur-Barat pula meningkat dari 151,400 kilometer kepada 171,000 kilometer.

Namun, MKBF Laluan Utara-Selatan turun dari 180,400 kilometer kepada 97,000 kilometer. Ini disebabkan masalah-masalah awal pada sistem isyarat baru.

Kadar kekerapan kemalangan melibatkan kakitangan SMRT Trains bagi FY2018 adalah 1.44, berbanding 1.14 pada tahun kewangan sebelumnya. Bagaimanapun, SMRT Trains menyatakan bahawa ia lebih rendah daripada purata industri logistik dan pengangkutan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan