Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SMRT rancang ganti semua teksinya dengan kenderaan elektrik dalam 5 tahun

Pengendali pengangkutan SMRT menyasarkan untuk mengganti semua teksinya dengan kenderaan elektrik dalam lima tahun, dengan kumpulan pertama sebanyak 300 kenderaan elektrik dijangka tiba secara bertahap-tahap dari Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Apr 2021 12:34PM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 09:36PM

SINGAPURA: Pengendali pengangkutan SMRT menyasarkan untuk mengganti semua teksinya dengan kenderaan elektrik dalam lima tahun, dengan kumpulan pertama sebanyak 300 kenderaan elektrik dijangka tiba secara bertahap-tahap dari Julai.

Kenderaan-kenderaan itu mungkin termasuk model-model seperti sedan, wagon dan kenderaan berbilang guna untuk "memenuhi keperluan pelbagai dalam pasaran yang sedang berkembang", menurut SMRT dalam satu kenyataan media pada Selasa (20 Apr).

Langkah itu sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat itu dalam perniagaan mesra alam, di bawah Strides Mobility, iaitu cabang khidmat mobiliti bandar mampan SMRT. Strateginya termasuk memperkenalkan perkhidmatan menggunakan kenderaan elektrik seperti teksi, kereta, van, limousine, motosikal dan bas.

Strides Mobility juga baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman dengan EuroSports Technologies bagi membangunkan, mengerahkan dan mengedarkan motosikal elektrik bijak di Singapura dan rantau ini.

SMRT adalah "antara pengendali pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat yang pertama memberi komitmen terhadap pengerahan teksi elektrik pada skala besar," menurut presiden SMRT Road Holdings Tan Kian Heong.

SMRT menambah lebih 600 teksi hibrid Toyota Prius pada 2013, menjadikannya pengendali teksi hibrid terbesar di Singapura pada waktu itu. Ia menggantikan semua teksinya kepada jenis hibrid tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan dalam ucapan Belanjawannya pada Februari bahawa Singapura akan mempergiat penggunaan kenderaan elektrik. Pemerintah merancang untuk menyediakan 60,000 tempat mengecas kenderaan elektrik di tempat letak kereta awam dan premis privet menjelang 2030.

Jumlah itu lebih tinggi daripada sasaran sebanyak 28,000 sebelum ini. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan