Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SMRT laksana ujian terbesar sistem isyarat baru di NSL & EWL, libatkan 95 kereta api

Pengendali kereta api SMRT menguji Sistem Kawalan Kereta Api Berasaskan Komunikasi (CBTC) sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) buat pertama kalinya semalam (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Mar 2018 05:37PM Dikemas Kini : 04 Mar 2018 10:47PM

SINGAPURA: Pengendali kereta api SMRT menguji Sistem Kawalan Kereta Api Berasaskan Komunikasi (CBTC) sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) buat pertama kalinya semalam (3 Mac).

Ujian itu merupakan yang terbesar sejak sistem isyarat baru itu diperkenalkan.

Latihan itu melibatkan 95 kereta api dan lebih 100 kapten. 30 jurutera isyarat dan teknisyen juga diarahkan supaya bersedia untuk bertugas bagi membantu dalam ujian tersebut.

Selain itu, SMRT mengerahkan sekumpulan bekas kapten kereta api dan pengendali Laluan Circle dalam ujian malam semalam (3 Mac). Langkah itu bagi memastikan para kapten kereta api yang bertugas pada waktu operasi biasa tidak ikut terjejas.

Ada dalam kalangan kakitangan secara sukarela kembali bertugas daripada hari rehat mereka bagi mengikuti ujian tersebut, kerana melihat ini sebagai kesempatan untuk mempelajari sistem baru itu.

Menurut Encik Mohamad Rezza Abdul Malek, 31, seorang kapten kereta api di NSL yang sudahpun menggunakan sistem CBTC, menyertai ujian tersebut dapat membantunya lebih memahami tentang sistem tersebut.

"Kadangkala akan berlaku kerosakan," kata beliau. "Setiap hari merupakan proses pembelajaran bagi kami, jadi kami cuba untuk menjadi lebih baik dalam tugas seharian kita."

Para kapten kereta api diarahkan supaya memandu kereta api yang digunakan dalam ujian dan melaporkan sebarang masalah yang berlaku kepada Pusat Kawalan Operasi.

Bagi membolehkan masa lebih panjang untuk menjalankan ujian tersebut, kesemua 35 stesen MRT EWL ditutup lebih awal pada 11.00 malam semalam (3 Mac) dan dibuka lewat pagi tadi (4 Mac), iaitu pada jam 8.00 pagi.

Dengan itu, SMRT mempunyai 5 jam untuk menjalankan ujian, berbanding 2 jam pada hari-hari lain.

SMRT memerlukan masa untuk membuat persiapan bagi menjalankan ujian itu selain perlu memastikan khidmat kereta api kembali beroperasi seperti biasa hari ini sejurus selepas ujian selesai dijalankan.

Encik Ramli Rahmat yang berusia 55 tahun, ditugaskan untuk mengatur jadual kereta api dan para pemandunya. Beliau perlu memastikan para pemandu tiba tepat pada waktunya dan ujian dapat dimulakan pada jam 1.00 pagi seperti yang dirancang. Ujian tersebut melibatkan 50 kereta api di EWL dan 45 lagi di NSL.

Pengurus Jadual Kereta Api itu mula bekerja dengan SMRT ketika ia memulakan operasinya pada 1986. Beliau menjadi kapten selama 10 tahun sebelum ditugaskan kepada bahagian operasi dan pengurusan stesen.

"Kami perlu memastikan ujian yang dijalankan pada setiap malam berjalan lancar," kata beliau. "(Orang awam) terjejas kerana waktu operasi lebih pendek, jadi kami ingin memastikan peluang ini dimanfaatkan sebaik mungkin."

Kesemua 35 stesen MRT di EWL akan terus ditutup lebih awal bagi setiap hujung minggu pada bulan ini serta pada 12 dan 14 Mac.

Masa tambahan bagi ujian dan kerja-kerja penyenggaraan membolehkan SMRT untuk segera menggunakan sistem isyarat baru itu menjelang Jun. Sebelum ini, ia dijangka akan dipasang pada hujung 2018. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan