Images

SLA teroka cara gunakan bangunan lama dengan lebih bermakna

SINGAPURA: Penguasa Tanah Singapura (SLA) sedang meneroka cara-cara lain bagi kegunaan sementara hartanah negara.

Ini selain daripada bangunan lama yang digunakan untuk acara-acara seni dan warisan.

Salah satu daripadanya akan memberi manfaat kepada golongan kurang bernasib baik dan ia akan dibuka tahun depan.

Stesen janakuasa di Pasir Panjang merupakan stesen janakuasa kedua di Singapura. Ia ditutup sejak 1980-an, namun dibuka kepada orang ramai sempena cuti Hari Raya Haji.

Memandangkan orang ramai berminat terhadap bangunan-bangunan warisan lama, SLA menganjurkan rumah-rumah terbuka sehari agar orang ramai berpeluang melihat bahagian dalamnya.

Kali terakhir rumah terbuka khas seperti itu diadakan adalah di bekas Stesen Kereta Api Tanjong Pagar.

Pada masa yang sama, SLA cuba meneroka cara penggunaan sementara untuk tempoh jangka panjang bagi bangunan-bangunan lama yang sudah dikembalikan kepada negara.

Salah satunya adalah bekas bangunan Sekolah Rendah Siglap di 10 La Salle Street.

Mulai Mac depan, bangunan itu akan dijadikan pusat retreat dan kemahiran hidup yang dikendalikan oleh Khidmat Masyarakat New Hope.

SLA perlu mendapatkan lampu hijau bagi pusat itu dari agensi-agensi pemerintah yang berkenaan serta pihak-pihak di sekitarnya.

SLA menawarkan subsidi sewa bagi penggunaan bangunan-bangunan lama yang memberi manfaat kepada masyarakat.  

- CNA/NU/ai

Top