Images
  • mendaki (3)

Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi kini juga manfaatkan pelajar Akademi BCA

SINGAPURA: Para pelajar di Akademi Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) kini boleh memanfaatkan Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS). Ini setelah skim tersebut dipertingkatkan dan diperluaskan baru-baru ini kepada golongan pelajar yang mengikuti kursus-kursus diploma di akademi tersebut.

Mohamad Alfian Bin Mohamad Rosdin, 20 tahun, merupakan antara 17 pelajar BCA yang menerima TTFS di bawah semakan terbaru itu, semasa tempoh pendaftaran pertamanya pada Mei 2019.


Mohamad Alfian Bin Mohamad Rosdin sekeluarga.

Impian Alfian melanjutkan pengajiannya di Akademi BCA hampir terbantut apabila bapanya, yang merupakan pencari nafkah utama keluarganya disahkan mengalami masalah berkaitan sistem saraf pusat. Oleh sebab keadaannya itu, beliau tidak boleh lagi bekerja.

Sebagai anak sulung, Alfian sedar bahawa beliau mesti berikhtiar sendiri untuk membiayai pengajiannya tanpa membebankan ibu bapanya meskipun beliau seorang penerima dermasiswa.

Justeru, beliau berasa amat bersyukur TTFS kini menyokong para pelajar sepertinya.

"Saya bercita-cita menjadi seorang yang berjaya yang berupaya menjaga kedua ibu bapa saya serta adik-beradik saya.

"TTFS membantu membiayai yuran tuisyen saya. Saya tidak perlu risau untuk mencari bantuan kewangan setiap penggal," kongsi Alfian, yang kini merupakan pelajar tahun kedua Kejuruteraan Mekanikal.

Subsidi TTFS membiayai yuran tuisyen beliau sepenuhnya, sekali gus membantunya untuk memberi tumpuan kepada pengajian dan masa depannya.


TTFS diperkenalkan pada 1991 sebagai subsidi pendidikan bagi para pelajar Melayu yang membiayai yuran tuisyen di institusi pengajian tinggi pemerintah tempatan.

Sejak ia diperkenalkan, skim tersebut sudah menjalani beberapa semakan untuk memastikan ia kekal relevan dalam menyokong pendidikan para pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi.

Tempoh pendaftaran seterusnya bagi TTFS adalah dari 9 September hingga 31 Oktober. Ia akan dibuka kepada para pelajar di Akademi BCA (Diploma sepenuh masa), ITE (Diploma Kejuruteraan Teknikal) dan Politeknik (Diploma sepenuh masa).

Bagi para pelajar NAFA dan Lasalle tempoh pendaftaran adalah dari 15 Nov 2019 hingga 15 Jan 2020. 

Manakala tempoh pendaftaran bagi universiti adalah dari 15 November hingga 15 Disember 2019. 

- BERITAmediacorp/na

Top