Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim sewa basikal satu kemudahan, namun masih ada keprihatinan

Kini ada lima syarikat yang menawarkan khidmat  di bawah skim sewa basikal. Berdasarkan perangkaan Julai lalu, terdapat sekitar 30,000 basikal sedemikian di merata Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Trend kongsi kenderaan semakin menarik perhatian dengan perasmian program perkongsian kereta elektrik BlueSG.

Bagi skim sewa basikal, kini ada lima syarikat yang menawarkan khidmat sedemikian. Berdasarkan perangkaan Julai lalu, terdapat sekitar 30,000 basikal sedemikian di merata Singapura.

Konsepnya cukup mudah, tetapi perkhidmatan itu tidak terlepas daripada masalah yang timbul.

KEMUDAHAN YANG KADANG DITAWAR SECARA PERCUMA

Tiga hingga empat kali seminggu, Encik Zahir Ayub akan ke kedai untuk membeli makan malam.

Ini dimudahkan lagi dengan adanya perkhidmatan sewa basikal.

Encik Zahir boleh berbasikal pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan hanya beberapa sentuhan di paparan skrin telefon bijak.

"Sejauh ini jarang saya dikenakan sebarang bayaran kerana mungkin jangka masa yang saya gunakan basikal ini tidak begitu lama. Kalau tak silap saya, kalau anda gunakan kurang daripada 30 minit anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran," kata Encik Zahir.

PENGGUNA MASIH BERDEPAN DENGAN MASALAH APLIKASI

Dalam kota yang bergelut dengan masalah kesesakan lalu lintas, Encik Zahir merupakan antara ribuan pengguna khidmat sewa basikal, yang mula diperkenalkan di Singapura awal tahun ini.

Kesemua penyedia khidmat menyewakan basikal pada kadar bayaran hampir sama.

Namun, perkhidmatan ini tidak terlepas daripada masalah.

"Walaupun aplikasi ada menunjukkan lokasi basikal, kadang-kadang ia tidak begitu tepat. Jadi, kadang-kadang susah nak cari basikal," adu Encik Zahir.

Selain aduan tentang aplikasi telefon bijak yang kurang mesra pengguna, ada juga yang kurang faham tentang sistem penalti kredit dalam aplikasi itu.

Data global syarikat oBike juga baru-baru ini diceroboh termasuk di Singapura.

BASIKAL-BASIKAL BERSEPAH, PENGGUNA GAGAL GUNA BASIKAL DENGAN BAIK

Para penduduk awam pula mengeluh pengguna meletakkan basikal mereka dengan cara menghalang tempat awam atau laluan pejalan kaki.

"Cara mereka meletak atau simpan basikal ini, seolah-olah basikal ini macam sampah. Memang benar, terlalu banyak basikal sehingga mengganggu lalu lintas," kata Encik Shah Idil Shah Budin, seorang penduduk kawasan Admiralty.

Bagi syarikat penyedia khidmat pula, wujud masalah lain seperti basikal yang dirosakkan.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Spectra yang ditemui BERITA Mediacorp, Fabien Chia, beliau pernah mendapati basikal dengan tempat pegang yang patah, tempat duduk patah dan tayar basikal yang pancit.

PENYEDIA KHIDMAT KEKAL POSITIF, KEKAL BERDAYA SAING

Namun, syarikat-syarikat yang dihubungi BERITA Mediacorp percaya semua masalah itu dapat diatasi apabila kesedaran pengguna semakin bertambah.

Dengan persaingan sengit antara penyedia khidmat, pengguna pastinya juga boleh menjangkakan ciri-ciri baru diperkenalkan.

Misalnya, Mobike baru memperkenalkan model basikal yang mempunyai lampu yang dikuasai cahaya mentari .

Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp pula, SG Bikes menyatakan ia akan memperkenalkan cara bayar langsung menggunakan kad EZ Link tidak lama lagi.

Natijahnya, perkhidmatan sewa basikal akan terus hadir dan semakin popular di sini.

Bagaimanapun, masih banyak usaha diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pengguna basikal yang bertanggungjawab. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan