Images
  • hdb (4)
    Gambar fail: Jeremy Long

Skim pemulihan di rumah pilihan asas untuk semua pesakit COVID-19, kecuali golongan tertentu: MOH

SINGAPURA: Mulai Ahad (10 Okt), skim pemulihan di rumah akan diperluaskan untuk menjadi aturan jagaan pilihan untuk semua orang, kecuali beberapa kumpulan tertentu, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu.

Pesakit COVID-19 yang tidak layak bagi skim itu termasuk mereka yang tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksin yang berumur 50 tahun dan ke atas, serta warga emas sudah divaksin berusia 80 tahun dan ke atas.

Kanak-kanak di bawah satu tahun, dan kanak-kanak berusia antara satu dengan empat tahun yang dinilai secara klinikal sebagai tidak sesuai untuk menjalani pemulihan di rumah, juga tidak akan layak bagi aturan ini, tambah MOH.

Buat masa ini, hanya mereka yang sudah lengkap divaksin, berusia antara 12 dengan 69 tahun, dan tidak mempunyai lebih daripada satu penyakit kronik atau penyakit akan layak untuk jalani pemulihan di rumah.

Mereka juga harus dapat mengasingkan diri di dalam bilik, "sebaiknya" yang dilengkapi dengan tandas, kata MOH.

Tidak boleh ada anggota serumah yang berusia lebih 80 tahun atau tergolong dalam salah satu kumpulan yang berisiko tinggi, seperti wanita hamil atau mereka yang mempunyai daya tahan imun yang lemah atau beberapa penyakit kronik, tambah MOH.

Dengan perubahan terbaru ini, mereka yang tidak divaksin, dan berusia 12 hingga 49 tahun akan boleh menjalani pemulihan di rumah.

Ini kerana tahap penyakit yang teruk bagi individu berusia lebih muda dan tidak divaksin adalah rendah, jelas MOH.

Selain itu, pesakit COVID-19 yang sudah lengkap divaksin berusia antara 70 dengan 79 tahun juga boleh menjalani pemulihan di rumah mulai 16 Oktober, menurut kementerian itu lagi.

"Memandangkan dapatan klinikal setakat ini yang mengaitkan pesakit COVID-19 sudah divaksin berusia 70 hingga 79 tahun, dan risiko mereka terjatuh di persekitaran yang tidak biasa buat mereka, adalah lebih selamat bagi mereka untuk pulih di sekitaran rumah mereka," jelas MOH.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, individu dari kedua-dua kumpulan itu akan dipadankan dengan seorang penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan dan harus memantau kesihatan mereka dengan rapi, termasuk tahap oksigen mereka, dalam tempoh pengasingan, menurut MOH.

MOH menambah bahawa mereka juga harus mendapatkan nasihat penyedia penjagaan kesihatan lebih awal sekiranya terdapat sebarang tanda bahawa keadaan kesihatan mereka bertambah teruk.

Skim pemulihan di rumah sebagai aturan pilihan juga akan dilanjutkan kepada anak-anak berusia antara lima dengan 11 tahun, kerana MOH mendapati COVID-19 bukan satu penyakit serius bagi kebanyakan mereka.

"Tambahan pula, ibu bapa sering meminta agar anak mereka dibenarkan pulih di rumah, di mana terdapat penjaga dari anggota keluarga," tambah MOH.

Bagi mereka yang berusia antara satu dengan empat tahun, MOH menyatakan skim pemulihan di rumah akan dilanjutkan kepada mereka dengan syarat mereka terlebih dahulu dinilai secara klinikal di hospital sebagai sesuai untuk menjalani pemulihan di rumah.

Pesakit di bawah program pemulihan di rumah akan terus mendapat akses sokongan perubatan 24 jam, tujuh hari seminggu, ujar MOH.

Bagi bantuan bukan perubatan, individu boleh menghubungi talian hotline Home Recovery Buddy di 6874 4939, tambahnya.

Sejak bermulanya program pemulihan di rumah, lebih 19,000 pesakit menjalani aturan tersebut, di mana lebih 8,000 telah sembuh sepenuhnya dan tamat tempoh pemulihan.

Bercakap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 pada Sabtu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata negara ini terus membuat kemajuan dalam program pemulihan di rumah.

Memandangkan bilangan kes dijangka meningkat, aturan pemulihan di rumah terus dilanjutkan kepada lebih ramai orang sedang ia terus diperhalusi, kata menteri itu.

KEMUDAHAN PENGASINGAN DALAM MASYARAKAT

Encik Ong berkata kemudahan jagaan dalam masyarakat dan beberapa kemudahan kuarantin pemerintah akan secara beransur-ansur ditukar menjadi kemudahan pengasingan masyarakat (CIF).

Kemudahan itu akan menjadi sebahagian daripada operasi program pemulihan di rumah, yang "membolehkan mereka yang tidak dapat mengasingkan diri di rumah, atau mempunyai anggota serumah yang berisiko tinggi, supaya dapat menjalani pengasingan yang selamat di premis di luar rumah", kata Encik Ong.

TEMPOH TAMAT PEMULIHAN DI RUMAH

MOH menyatakan pesakit COVID-19 yang menjalani program pemulihan di rumah akan diisytihar sembuh berdasarkan tempoh sejak diagnosis, tanpa perlu ujian tambahan.

Ini kerana bukti menunjukkan, pada satu ketika beban virus dalam tubuh seseorang yang terkena jangkitan akan berkurangan hingga ke paras tidak dapat dikesan atau tidak berjangkit, jelas MOH.

Bagi mereka yang sudah divaksin vaksin dan bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, tempoh pengasingan bagi pemulihan di rumah akan berlangsung selama 10 hari.

Bagi mereka yang tidak divaksin dan berusia lebih 12 tahun, tempoh pengasingan mereka adalah selama 14 hari, menurut MOH. 


(Sumber: CNA)

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top