Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim insurans nasional bagi golongan kurang upaya bermula pertengahan 2020

Rang Undang-undang untuk menyokong keperluan jagaan jangka panjang bagi rakyat kurang upaya yang teruk diluluskan di Parlimen hari ini (2 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Sep 2019 08:09PM Dikemas Kini : 02 Sep 2019 09:35PM

SINGAPURA: Rang Undang-undang untuk menyokong keperluan jagaan jangka panjang bagi rakyat kurang upaya yang teruk diluluskan di Parlimen hari ini (2 Sep).

Di bawah Rang CareShield Hayat dan Jagaan Jangka Panjang itu, setiap orang yang berusia antara 30 hingga 40 tahun secara automatik akan membayar premium bagi sebuah skim insurans kebangsaan baru untuk rakyat kurang upaya mulai pertengahan 2020.

Skim CareShield Hayat bertujuan membantu keperluan perubatan dan jagaan jangka panjang rakyat Singapura, sedang penduduknya semakin tua.

Pembayaran awal adalah lebih tinggi berbanding Eldershield iaitu S$600 sebulan dan akan meningkat dari semasa ke semasa.

Warga Singapura berusia antara 30 hingga 40 tahun adalah yang pertama menyertai skim tersebut.

Sementara itu, subsidi sehingga S$250 akan disediakan dari 2020 hingga 2024 untuk membantu mereka melalui peralihan itu.

Mereka yang dilahirkan pada 1979 atau lebih awal juga digalakkan menyertai skim itu dari 2021. Sebanyak S$2,500 akan dipotong dari premium mereka selama tempoh 10 tahun.

Untuk memastikan pembayaran premium kekal dimampui, rakyat boleh mengeluarkan sehingga S$2,400 setahun daripada akaun MediSave untuk membayar premium.

Keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan pula layak menerima subsidi sehingga 30 peratus. Mereka yang masih memerlukan bantuan kewangan setelah menerima subsidi tersebut boleh memohon untuk Sokongan Premium Tambahan.

Mulai Januari 2020, ElderFund akan membantu rakyat yang mengalami kurang upaya teruk, berusia 30 tahun dan ke atas dengan berpendapatan rendah, yang memerlukan sokongan kewangan tambahan bagi jagaan jangka panjang. Mereka yang layak boleh menerima sehingga S$250 sebulan.

ElderFund bermanfaat bagi mereka yang tidak boleh menyertai CareShield Life atau mempunyai baki rendah dalam akaun MediSave dan simpanan peribadi, untuk memenuhi keperluan jagaan jangka panjang.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata: "Pemerintah menyediakan sokongan besar melalui subsidi dan skim-skim bantuan terutama kepada yang berpendapatan rendah.

"Semua tiga tunggak ini adalah penting - insurans, simpanan dan sokongan pemerintah. Mencapai keseimbangan yang betul dalam kalangan ketiga-tiganya adalah genting dalam usaha menjadikan sistem kita inklusif, dimampui dan mampan."

Encik Gan menambah satu dana akan ditubuhkan bagi menguruskan CareShield Hayat.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan menguruskan Dana Sokongan Jagaan Jangka Panjang - yang meliputi subsidi premium dan insentif bagi CareShield Hayat - sokongan kewangan bagi ElderFund serta kos menyertakan rakyat dengan ketidakupayaan sedia ada, yang dilahirkan pada atau selepas 1980.

Encik Gan berkata sebuah majlis bebas CareShield Hayat akan menyemak premium dan pembayaran CareShield Hayat menjangkaui 2025.

Butir-butirnya akan diumumkan oleh majlis tersebut kelak.  

Sumber : CNA/MM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan