Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim 'beli sekarang, bayar kemudian': MAS menilai sama ada rangka kerja kawal selia diperlukan

Meskipun skim "beli sekarang, bayar kemudian" tidak menimbulkan sebarang risiko besar terhadap hutang isi rumah pada ketika ini, MAS sedang menilai sama ada satu rangka kerja kawal selia diperlukan sebagai panduan bagi khidmat bayaran sedemikian sedang ia digunakan secara lebih meluas.

Anggaran Waktu Membaca:
Skim 'beli sekarang, bayar kemudian': MAS menilai sama ada rangka kerja kawal selia diperlukan

(Gambar: Hoolah)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 11:19PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 11:20PM

SINGAPURA: Meskipun skim "beli sekarang, bayar kemudian" (BNPL) tidak menimbulkan sebarang risiko besar terhadap hutang isi rumah pada ketika ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang menilai sama ada satu rangka kerja kawal selia diperlukan sebagai panduan bagi khidmat bayaran sedemikian sedang ia digunakan secara lebih meluas.

Ini termasuk amalan urus niaga yang adil oleh penyedia BNPL, menurut Menteri Kanan merangkap pengurusi MAS Tharman Shanmugaratnam pada Selasa (5 Okt).

"Misalnya, pendedahan jelas semasa membuka akaun dapat membantu memastikan bahawa pelanggan maklum sepenuhnya tentang bayaran lewat yang akan dikenakan jika mereka tidak membuat bayaran tepat pada waktu."

MAS telah mengadakan rundingan dengan beberapa penyedia BNPL, di samping meneliti pengalaman negara-negara lain yang mana skim sedemikian lebih berleluasa, katanya.

Encik Tharman menjawab soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen Desmond Choo (PAP-Tampines), yang bertanya tentang perkembangan proses semakan bank pusat terhadap skim-skim sedemikian. MAS pada Mac lalu memberitahu Mediacorp bahawa ia sedang "menyemak pendekatan kawal selia yang sesuai" bagi skim-skim sedemikian.

Encik Choo juga bertanya tentang nilai urus niaga BNPL sekarang di Singapura sekarang dan sama ada khidmat sedemikian menyebabkan lebih banyak orang berhutang.

Skim BNPL merujuk kepada pelan bayaran jangka pendek yang membolehkan individu membuat pembelian dan bayaran dibuat bagi satu tempoh waktu ditetapkan. Bayaran secara ansuran bukan satu konsep asing, namun khidmat BNPL membolehkan pembeli untuk membahagikan bayaran bagi pembelian barang-barangan harian, tanpa dikenakan bayaran faedah dan tanpa perlu memiliki kad kredit.

Kaedah bayaran alternatif itu, khususnya bagi khidmat e-dagang, digunakan secara meluas di pasaran luar negara terutama sekali di Australia, Eropah dan Amerika Syarikat. Ia juga mula mendapat sambutan di Singapura pada tahun lalu setelah pandemik mendorong lebih ramai orang untuk melakukan jual beli online.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan