Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim Beli Balik Pajakan diluaskan kepada semua jenis flat HDB mulai 1 Jan 2019

Skim Beli Balik Pajakan (LBS) dilanjutkan kepada semua jenis flat HDB mulai hari ini (1 Jan), menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Jan 2019 08:39AM Dikemas Kini : 01 Jan 2019 11:03PM

SINGAPURA: Skim Beli Balik Pajakan (LBS) dilanjutkan kepada semua jenis flat HDB mulai hari ini (1 Jan), menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

LBS membolehkan para pemilik flat lanjut usia menjual sebahagian baki tempoh pajakan flat mereka kepada HDB bagi memperoleh pendapatan untuk membiayai persaraan mereka.

Sebelum ini, hanya pemilik flat empat bilik atau yang lebih kecil layak bagi skim tersebut. Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan pada Ogos lalu bahawa skim tersebut dilanjutkan kepada semua jenis flat HDB.

Dengan peluasan itu, warga emas yang memiliki flat lima bilik dan yang lebih besar boleh menjual sebahagian baki tempoh pajakan flat bagi meraih pendapatan, menurut HDB.

HDB menjangkakan sekitar 34,000 keluarga bakal meraih manfaat daripada peluasan skim tersebut, menjadikan kira-kira 130,000 keluarga layak bagi skim itu.

Di bawah LBS, pemilik flat lima bilik dan yang lebih besar boleh menerima bonus tunai sehingga S$5,000 di samping hasil penjualan sebahagian baki tempoh pajakan flat kepada HDB.

Pemilik flat empat bilik pula boleh mendapat sehingga S$10,000 manakala pemilik flat tiga bilik boleh meraih sehingga S$20,000.

Selepas mendaftar bagi LBS, warga emas masih boleh menyewakan bilik dalam flat mereka supaya mendapat pendapatan persaraan tambahan.

HDB turut menarik perhatian kepada pilihan lain berkaitan isu perumahan bagi warga emas untuk meraih pendapatan bagi membiayai persaraan mereka.

Sekiranya mereka memilih untuk tidak mendaftar bagi LBS, mereka boleh menyewakan seluruh flat atau berpindah kepada flat lebih kecil, dengan pilihan membuat permohonan bagi Bonus Perumahan untuk Warga Emas.

Mereka yang berminat berdaftar bagi LBS atau sebarang pilihan perumahan lain boleh berbuat demikian dengan mengaturkan temu janji di cawangan HDB.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang LBS, orang ramai boleh melungsuri laman InfoWEB HDB atau menghubungi HDB melalui talian 1800-225-5432, antara 8.00 pagi dengan 5.00 petang, dari Isnin hingga Jumaat. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan