Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim baru bantu 300 PMET pertengahan kerjaya ceburi sektor bioperubatan

Satu program penukaran profesional (PCP) yang baru dilancarkan untuk membantu karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) pertengahan kerjaya menyertai sektor sains bioperubatan yang sedang berkembang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Skim baru bantu 300 PMET pertengahan kerjaya ceburi sektor bioperubatan

Gambar fail peralatan makmal. (Gambar: Institut Genom Singapura A*STAR)

Diterbitkan : 26 Aug 2020 06:32PM Dikemas Kini : 26 Aug 2020 06:33PM

SINGAPURA: Satu program penukaran profesional (PCP) yang baru dilancarkan untuk membantu karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) pertengahan kerjaya menyertai sektor sains bioperubatan yang sedang berkembang.

Program PCP bagi Pengilangan Biofarmaseutikal Lanjutan untuk Karyawan dan Eksekutif selama 18 bulan itu dijangka memberi manfaat kepada 300 PMET sepanjang tahun depan. Demikian menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (26 Ogos).

Skim baru tersebut akan menggantikan program Bekerja Sambil Berlatih (Attach and Train) bagi pengilangan produk biologi - yang dilancarkan pada November 2018 dan sudahpun membantu 185 individu memasuki sektor itu sejauh ini. Skim itu akan membantu pelatih meneroka bidang menjangkaui pembuatan biologi yang meliputi pengkhususan dalam pengeluaran farmaseutikal serta pengkhususan dalam terapi sel dan baka.

Dengan itu, jelas kedua-dua agensi tersebut, ia akan membantu melengkapkan pelatih dengan kemahiran yang diperlukan bagi peranan baru yang semakin mendapat permintaan dalam bidang seperti bioteknologi dan jurutera pengeluaran.

Bersama-sama dengan PCP sedia ada bagi jurutera teknologi perubatan dan penolong jurutera, yang dilancarkan pada Oktober 2017, kedua-dua skim tersebut akan dapat membantu 450 individu memulakan kerjaya baru dalam sektor sains bioperubatan sepanjang tiga tahun akan datang.

Agensi-agensi pemerintah berkenaan, yang bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri serta Politeknik Singapura dan Politeknik Temasek bagi skim baru berkenaan, menyatakan langkah itu dilakukan sebagai persiapan memenuhi permintaan bagi tenaga manusia yang dijangka meningkat dalam sektor itu. Ini selain membantu pekerja tempatan merebut peluang-peluang tersebut.

Di sebalik kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19, sektor sains biperubatan dan sektor sampingannya termasuk perusahaan pengilangan biofarmaseutikal, terus menyediakan pertumbuhan dan peluang cerah, menurut EDB dan WSG.

Ini disebabkan peningkatan permintaan yang mendadak di seluruh dunia bagi produk-produk farmaseutikal serta jagaan kesihatan di tengah-tengah pandemik COVID-19, yang mempercepat pengeluaran bahan farmaseutikal aktif dan produk biologi.

Data EDB menunjukkan kelompok pengilangan bioperubatan tumbuh 26.7 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan