Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim Bantuan Pekerjaan diperluas kepada peruncit, gim dan sektor seni

Lebih banyak sektor yang terjejas oleh langkah sekatan terbaru COVID-19 akan menerima subsidi gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (28 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Skim Bantuan Pekerjaan diperluas kepada peruncit, gim dan sektor seni

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 May 2021 05:52PM Dikemas Kini : 28 May 2021 05:59PM

SINGAPURA: Lebih banyak sektor yang terjejas oleh langkah sekatan terbaru COVID-19 akan menerima subsidi gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (28 Mei).

Encik Wong yang juga merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 berkata bahawa langkah-langkah diperketat itu telah membantu membendung lonjakan dalam jumlah kes jangkitan dalam masyarakat.

"Penilaian kami adalah langkah-langkah itu berhasil dan ia mempunyai kesan dalam mengawal penularan virus," katanya.

Tiada keperluan untuk sekatan lebih ketat, katanya.

Apabila langkah-langkah itu diumumkan pada 14 Mei, Pemerintah menggandakan subsidi Bantuan Pekerjaan bagi perniagaan makanan dan minuman (F&B) daripada 10 peratus kepada 50 peratus bagi gaji yang dibayar sehingga Jun 2021.

Skim itu menyediakan subsidi kepada syarikat-syarikat bagi S$4,600 pertama gaji bulanan kasar para pekerja tempatan.

Bantuan gaji 50 peratus itu kini akan diperluaskan kepada lebih banyak sektor yang mana banyak, ataupun seluruh operasi mereka perlu digantung sepanjang tempoh pelaksanaan kewaspadaan dipertingkat.

Ini termasuk gim, studio kecergasan, pertubuhan seni persembahan dan pusat pendidikan seni. Subsidi Bantuan Pekerjaan itu menggantikan geran operasi untuk gim dan studio kecergasan yang diumumkan sebelum ini.

Sektor-sektor yang tidak perlu menggantung operasi namun amat terjejas oleh langkah-langkah diperketat itu boleh mendapatkan subsidi gaji sebanyak 30 peratus daripada 16 Mei hingga 13 Jun.

Ini merangkumi perniagaan dalam sektor runcit, khidmat jagaan peribadi yang terjejas, muzium, galeri seni, tapak bersejarah, pawagam, taman permainan kanak-kanak dalam bangunan serta pusat hiburan keluarga yang lain.

Sesetengah peruncit seperti pasar raya, kedai runcit dan peruncit online bagaimanapun tidak layak bagi subsidi itu.

Bayaran itu, berdasarkan gaji yang dibayar antara April dengan Jun tahun ini, akan diagihkan pada September, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF menambah bahawa para majikan yang meletakkan para pekerja tempatan di bawah cuti wajib tanpa gaji atau memberhentikan mereka tidak layak mendapatkan bayaran Bantuan Pekerjaan bagi pekerja tersebut.

BANTUAN SEWA

Pemerintah juga akan memberi bantuan bayaran sewa kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dan pertubuhan bukan meraih untung yang layak (dengan hasil pendapatan S$100 juta atau kurang) di beberapa tempat.

Ini termasuk hotel, apartmen servis, tempat-tempat MICE, terminal feri atau pusat kapal persiaran, tempat-tempat tarikan pelancong, pawagam, sekolah, bangunan kesihatan atau perubatan.

Hartanah komersil milik pemerintah akan diberi pengecualian bayaran sewa sebulan bagi para penyewa yang layak.

Penyewa perlu memindahkan bantuan sewa yang diterima kepada penyewa lebih kecil yang layak, jika ada.

Bagi hartanah komersil milik swasta, beberapa tuan tanah memberi pengecualian bayaran sewa atau rebat untuk membantu para penyewa mereka, menurut MOF.

Sebagai bantuan tambahan, Penguasa Hasil Mahsul dalam Negeri (IRAS) akan mengagihkan separuh daripada bantuan bayaran sewa sebulan dalam bentuk wang tunai kepada para penyewa yang layak sebagai sebahagian daripada Skim Bantuan Sewa yang baru. Bayaran itu akan diagihkan mulai pertengahan Ogos.

Mereka yang mengendalikan perniagaan SME atau pertubuhan bukan meraih keuntungan di hartanah sendiri juga layak menerima bayaran wang tunai itu.

Para penjaja dan pemilik kedai kopi yang merupakan penyewa agensi-agensi pemerintah sudah pun menerima pengecualian sewa sebulan. Pihak berkuasa menggalakkan pemilik hartanah komersil "supaya membantu para penyewa F&B sepanjang tempoh ini".

Khidmat pembersihan meja dan pencucian pinggan berpusat juga dikecualikan bagi sekitar 6,000 pegerai makanan di pusat-pusat penjaja kendalian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali yang dilantik oleh NEA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan