Images

SkillsFuture lancar 7 program baru "Earn & Learn" bantu pelajar pengajian tinggi

SINGAPURA: Para pelajar pusat pengajian tinggi akan menerima lebih banyak peluang pengalaman pekerjaan di bawah pergerakan SkillsFuture.

Daya usaha bekerja sambil belajar di bawah Program "Earn and Learn" itu, akan ditambah dengan lebih banyak program.

Satu wadah online juga akan dilancarkan tahun depan, bagi para pelajar memohon untuk mengikuti program-program tersebut.

Untuk memajukan kerjaya para pelajar, SkillsFuture Singapore melancarkan tujuh program baru "Earn and Learn" atau ELP.

Ini termasuk satu program untuk para pelajar Politeknik Ngee Ann bekerja dalam syarikat pemula antara sembilan hingga 12 bulan.

Ia adalah yang pertama seumpamanya di bawah program bekerja sambil belajar dan para pelajar akan tamat kursus dengan pengkhususan dalam bidang-bidang seperti pemasaran digital.

Menurut SkillsFuture, program tersebut bukan saja memberi manfaat kepada para pelajar tetapi juga membantu syarikat-syarikat memenuhi keperluan tenaga kerjanya.

Menteri Negara Kanan Pendidikan Dr Janil Puthucheary berkata program ELP memerlukan pelaburan besar dan berkekalan tetapi beliau percaya syarikat-syarikat akan meraih manfaat dengan adanya kumpulan pekerja berkemahiran tinggi dan budaya latihan di kalangan pekerja.

Sekarang terdapat sejumlah 28 program ELP merangkumi pelbagai sektor.

Lebih 1,200 pelajar mengikutinya sejak Mac 2015.

Kini para pelajar boleh memohon ELP pada bila-bila masa saja secara online.

Mulai suku pertama tahun depan, para majikan juga boleh menyemak permohonan pelajar dan mengiklankan jawatan kosong secara online.
 

- CNA/AA/sm

Top