Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Skandal 1MDB: Kevin Scully dibenar terus jadi pemegang saham utama NRA Capital

Mantan ketua pegawai eksekutif syarikat penasihat kewangan NRA Capital (NRA), Kevin Scully, akan dibenarkan untuk terus menjadi pemegang saham utama syarikat itu atas beberapa syarat tertentu.

Anggaran Waktu Membaca:
Skandal 1MDB: Kevin Scully dibenar terus jadi pemegang saham utama NRA Capital

Bangunan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 10 Oct 2018 10:56PM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 10:58PM

SINGAPURA: Mantan ketua pegawai eksekutif syarikat penasihat kewangan NRA Capital (NRA), Kevin Scully, akan dibenarkan untuk terus menjadi pemegang saham utama syarikat itu atas beberapa syarat tertentu. Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (10 Okt).

Keputusan itu dibuat setelah Encik Scully merayu terhadap arahan larangan selama tiga tahun yang dikeluarkan oleh MAS pada tahun lalu. Arahan berkenaan melarang Encik Scully daripada menjadi pemegang saham utama syarikat-syarikat khidmat penasihat kewangan di bawah Akta Penasihat Kewangan (FAA).

Arahan itu juga melarang Encik Scully daripada menyediakan sebarang khidmat penasihat kewangan di bawah FAA. Beliau juga dilarang daripada menyertai pihak pengurusan atau menyandang jawatan sebagai pengarah syarikat-syarikat khidmat penasihat kewangan di bawah akta tersebut.

NRA Capital dilantik untuk melakukan penilaian terhadap PetroSaudi Oil Services, sebuah syarikat yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semasa mengeluarkan arahan larangan itu, MAS menyatakan ia mendapati bahawa Encik Scully gagal memastikan penilaian NRA terhadap PetroSaudi Oil Services dijalankan dengan teliti serta pertimbangan dan objektif yang mencukupi.

Encik Scully kemudian merayu terhadap keputusan MAS. Menyusuli siasatan oleh Jawatankuasa Penasihat Permohonan MAS, arahan larangan itu diubah suai bagi membenarkan beliau terus menjadi pemegang saham utama syarikat berkenaan atas beberapa syarat tertentu.

"Ini berdasarkan syarat bahawa beliau berjanji kepada MAS bahawa beliau tidak akan menggunakan hak ke atas saham-saham yang dimilikinya di NRA yang akan membolehkan beliau, sama ada secara langsung atau tidak, untuk mempengaruhi pihak pengurusan atau operasi syarikat itu, selain penerima dividen yang mungkin diluluskan hanya oleh para pemegang saham NRA yang lain," menurut MAS.

"Encik Scully juga harus memaklumkan para pengarah dan pihak pengurusan NRA mengenai janji itu dan menunjukkan bukti bahawa beliau sudahpun berbuat demikian kepada MAS."

Selain penyesuaian tersebut, arahan larangan Encik Scully akan terus dikuatkuasakan selama tiga tahun, yang bermula pada 18 Disember lalu.

ARAHAN LARANGAN BEKAS PEGAWAI CREDIT SUISSE DIKURANGKAN

Sementara itu, tempoh arahan larangan selama empat tahun yang dikenakan ke atas bekas pegawai perbankan Credit Suisse di Singapura, Lim Fang Wee, dikurangkan kepada tiga tahun, yang dikuatkuasakan bermula 30 April 2018.

Encik Lim didapati "secara sengaja menyembunyikan" identiti pemilik sebenar tiga akaun bank tersebut, sekaligus menjadikannya lebih sukar untuk bank tersebut memantau dan mengesan urus niaga yang dicurigai, menurut MAS. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan