Images

Siswazah NTU ini tolak jadi juruterbang SIA untuk jadi guru tuisyen; kini juga jadi peguam

BERITAmediacorp: Ketika baru tamat pengajian dari Universiti Teknologi Nanyang dengan ijazah kejuruteraan aeroangkasa, Encik Muhammad Aadil Dafir mendapat tawaran kerja cukup memikat. Beliau ditawarkan menjadi seorang juruterbang SIA!

Semestinya sukar untuk mendengar pemohon menolak tawaran keemasan menjadi juruterbang yang membelah awan dan gaji yang begitu lumayan.

Namun itulah keputusan yang diambil Encik Aadil - menolak tawaran tersebut - dan sebaliknya mengambil langkah berani untuk menjadi guru tuisyen sahaja. Beliau kemudian menubuhkan sebuah pusat tuisyen.

"Saya ingin melakukan sesuatu yang akan meninggalkan kesan terhadap kehidupan orang lain," terang Encik Aadil.

Bagaimanapun, keputusan mengejutkan itu tidak berjalan licin.


(Gambar-gambar: Md Aadil Dafir)

"Ibu marah kerana saya tolak tawaran jadi juruterbang SIA. Beliau tanya jika saya pasti dengan keputusan saya kerana apa yang saya pilih tidak relevan dengan apa yang saya pelajari," tambah anak sulung empat beradik itu.

"Saya memberitahunya: 'Ibu, percaya saya. Yakin dengan apa yang saya ingin lakukan.'”

Kini, 10 tahun kemudian, siswazah kejuruteraan yang enggan menjadi jurutera atau juruterbang itu mencatat satu lagi 'kejutan'. Beliau bakal menjadi seorang peguam pula pada usia 34 tahun!

Encik Aadil awal minggu ini, merupakan satu-satunya anak Melayu dalam kohort pertama 11 orang yang lulus pengajian possiswazah undang-undang (Juris Doctor) dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Ini kisah beliau yang luar biasa lagi menarik itu...

BIMBING 1,000 PELAJAR SECARA SUKARELA MESKI SIBUK

Lumrah berniaga - ada pasang surutnya. Begitu juga bagi Encik Aadil. Saat mula-mula bertapak sebagai pengendali pusat tuisyen pada 2010, pendapatan beliau "cukup-cukup makan".


Encik Aadil bersama antara pelajarnya.

Namun Encik Aadil cekalkan hati dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan beliau. Pada kemuncaknya, Encik Aadil mengendalikan tiga pusat tuisyen sekali gus.

"Saya bina reputasi kami. Apabila kita melakukan yang terbaik, semuanya akan berjalan lancar," ujar Encik Aadil. 

Pada 2015 pula, beliau terpanggil untuk menjadi seorang sukarelawan di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah setelah dipelawa sepupunya. Di madrasah itulah, Encik Aadil melakukan amal kebajikan dengan menjalankan kelas Matematik dan Sains untuk para pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan. Usaha ini beliau jalankan setiap Isnin, Selasa dan Khamis selama lima tahun lamanya.


Bagai tidak mengenal erti lelah, Encik Aadil menawarkan pula kelas Matematik secara percuma di Masjid Muhajirin pada setiap Jumaat - dari sekitar jam 7.00 malam hingga 10.00 malam. Kelas itu dibuka kepada sekitar 30 pelajar menengah.

"Para pelajar yang menyertai kelas itu datang dari madrasah-madrasah berlainan seperti Madrasah Alsagoff, Al-Maarif dan Al-Arabiah. Sebahagian besarnya datang dari Madrasah Irsyad," kata Encik Aadil.

Ini bukan sumbangan kecil. Bayangkan, beliau kini sudah membimbing lebih 1,000 pelajar secara sukarela secara keseluruhannya dalam tempoh lima tahun sahaja. Sangat luar biasa.

Mungkin lebih luar biasa lagi adalah kata-kata rendah diri yang beliau ungkapkan ini:

"Para pelajar saya adalah 'my greatest teacher' (guru terbaik saya)."

TAPI KENAPA MAHU JADI PEGUAM PULA?

Semua kerja kebajikannya juga tidak dilakukan dengan cara melepaskan batuk di tangga. Encik Aadil begitu komited dan tulus ikhlas membantu sehingga beliau akhirnya menjadi tempat mengadu pelajar-pelajarnya melewati bimbingan tuisyen.

"Ada yang melihat ada masalah nafkah antara ibu bapanya. Ada juga isu perceraian dan keganasan dalam keluarga. Dan mereka tidak tahu sama ada perkara itu normal atau tidak," cerita Encik Aadil.

Inilah yang mendorong beliau untuk 'terjun' pula ke dalam bidang guaman. Jadi, empat tahun lalu, pada usia 'lanjut' 30 tahun, Encik Aadil mendaftarkan diri bagi program Juris Doctor itu di SUSS.


"Dengan menimba ilmu daripada program (undang-undang) itu, saya dapat berkongsi dengan mereka secara berkesan (tentang) apa yang betul, apa yang tidak. Apa hak mereka?"

Walaupun 'kembali ke sekolah', Encik Aadil tetap mengendalikan pusat tuisyennya serta tetap mengajar secara sukarela di Madrasah Irsyad dan Masjid Muhajirin.

PERJALANAN CUKUP MENCABAR

Hakikatnya, perjalanan Encik Aadil untuk menimba ilmu dalam bidang baru cukup mencabar. Ini lebih-lebih lagi kerana, beliau juga memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada dua orang anak yang masih kecil, masing-masing berusia dua bulan dan setahun lebih.

"Pelajar undang-undang perlu banyak membaca dan membuat banyak penyelidikan. Pada masa yang sama, saya masih bekerja dan saya ada keluarga. Saya harus bijak bagikan masa kerana masa ini suntuk sangat. Saya juga mahu pastikan saya lakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang saya tangani," kongsi Encik Aadil lagi.


Bukan itu sahaja, beliau harus pastikan simpanannya mencukupi sepanjang hampir empat tahun pengajiannya kerana kos program yang diikutinya itu menelan kos S$40,000 setahun.

Encik Aadil akhirnya tamat pengajian enam bulan lebih awal berbanding para siswa lain dan mendapat ijazah kepujian kelas kedua.

Untuk menduduki ujian bar yang melayakkan seseorang menjadi peguam, mereka harus mendapat GPA melebihi 3.5 mata. Itulah yang didapatkan Encik Aadil. Beliau sudahpun menduduki ujian bar dan sedang menanti keputusan yang akan dikeluarkan pada awal tahun depan.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah azimat yang tersemat dalam hati dan minda beliau untuk berjaya menempuhi semua ini?

"Saya rasa apa-apa yang kita ceburi, kita mesti ada disiplin. Nombor dua, kita kena selalu ingat mengapa kita mulakan perjuangan itu.

"Itu adalah salah satu benda yang terpenting kepada saya kerana saya membuat banyak pengorbanan selama empat tahun ini. Setiap kali saya berdepan cabaran, saya selalu bertanya kepada diri saya, mengapa saya memulakan perjuangan ini," kata Encik Aadil.

INGIN TANGANI KES JENAYAH, KELUARGA

Sementara menantikan saatnya menjadi peguam bertauliah bermula pertengahan tahun 2021, beliau akan mula menjalani kontrak latihan bersama syarikat guaman terkemuka Harry Elias pada bulan Januari.


Beliau akan menangani kes-kes jenayah dan masalah keluarga.

"Saya rasa jenayah dan bidang kekeluargaan ini kurang mendapat perhatian dan saya rasa, dengan kemahiran yang saya ada sebagai seorang sukarelawan dan juga sebagai seorang guru, saya dapat menyumbang secara lebih berkesan dalam bidang-bidang ini," jelas Encik Aadil sambil menyifatkan keputusannya untuk terjun ke dalam bidang guaman sebagai suatu "peralihan semula jadi" (natural progression).

Melihat kembali perjalanannya sepanjang 10 tahun lalu, Encik Aadil tidak berfikir beliau 'silap langkah'.

"Kadangkala senang untuk kita merasakan, kita terlepaskan satu peluang. Tetapi bila saya renung kembali, saya menyedari ada baiknya saya tidak (terburu-buru) merebut peluang yang ada dulu," kata Encik Aadil.

Satu perkara juga sangat jelas - sedang ramai karyawan lain mengejar gaji, Encik Aadil pula berlumba-lumba mengejar kebajikan.

"Masa di dunia ini amat terhad. Saya rasa masa yang kita ada ini, kita sepatutnya sedaya upaya membuat baik. Kalau kebaikan yang kita buat itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara-perkara baik, akan ada 'ripple effect' (kesan berlipat ganda) dalam masyarakat." 

- BERITAmediacorp/aq

Top