Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siswa NUS dipenjara rakam 104 wanita dalam bilik salin pakaian, bawah skirt

Seorang pelajar jurusan Kimia di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang ditangkap oleh rakan sekolah ketika dia merakam video bawah skirt seorang wanita di kampus, didapati telah membuat rakaman sulit 104 wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa NUS dipenjara rakam 104 wanita dalam bilik salin pakaian, bawah skirt

Gambar fail Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: Alif Amsyar)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 10:05PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 10:17PM

SINGAPURA: Seorang pelajar jurusan Kimia di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang ditangkap oleh rakan sekolah ketika dia merakam video bawah skirt seorang wanita di kampus, didapati telah membuat rakaman sulit 104 wanita.

Desmond Teh Yu Kiat, 27 tahun, dijatuhkan hukuman penjara 28 minggu pada Selasa (11 Ogos). Secara berasingan, NUS menyatakan dalam satu kenyataan kepada media bahawa pihaknya sebelum ini mengenakan sekatan ke atas Teh termasuk digantung sekolah, kaunseling wajib dan kerja-kerja masyarakat.

Teh tamat pengajian di universiti itu tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 2017, Teh adalah pelajar tahun ketiga di NUS dalam jurusan Kimia.

Selepas kelas pada 24 Mac 2017, Teh merakam video bawah skirt seorang wanita yang sedang menaiki tangga di kampus.

Seorang rakan sekolah melihat kejadian itu lalu menjerit berulang kali: "Hentikan, kerana saya boleh melaporkan anda kepada polis."

Teh memberi isyarat meminta maaf kepada saksi itu sebelum bergegas lalu.

Saksi dan mangsa bertukar nombor telefon dan wanita itu dinasihati supaya melaporkan perkara itu kepada pegawai keselamatan kampus.

Mangsa membuat aduan polis pada hari yang sama.

RATUSAN KLIP LUCAH DITEMUI

Siasatan dimulakan dan telefon serta komputer riba Teh disita. Sebanyak 230 video menunjukkan klip rakaman bawah skirt dan klip mangsa bertukar pakaian di bilik salin pakaian ditemui dalam peranti tersebut.

Teh merakam video 104 wanita antara Jun 2015 hingga April 2017, dengan 70 klip menunjukkan wajah mangsa, kata Timbalan Pendakwa Raya Zhou Yang.

498 fail video lain ditemui dalam peranti Teh diklasifikasikan sebagai lucah kerana mengandungi perbuatan seksual. Selain itu, terdapat 96 lagi video bawah skirt yang dirakam Teh di luar negara.

Dia juga memuat turun video aksi seks dari laman seperti Tumblr dan Volafile, dan juga memiliki akaun Tumblr yang digunakan untuk memuat naik gambar bawah skirt dan dalam baju yang dimuat turun online. Dia juga berkongsi gambar serta video seperti itu dengan pengguna lain melalui aplikasi pesanan Kik.

Teh tahu perbuatannya merakam video sedemikian adalah salah, namun tidak meminta bantuan profesional sehinggalah dia tertangkap.

Teh mengaku bersalah pada Selasa atas tiga tuduhan menghina kehormatan wanita dan satu tuduhan di bawah Akta Filem, dengan pertuduhan lain dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara sekurang-kurangnya 30 minggu, dengan menarik perhatian terhadap tahap pencerobohan, perancangan dan pertimbangan yang tinggi.

Peguam Teh, Cheryl Sim dari Regent Law, berhujah bahawa Teh tidak mempunyai rekod kesalahan sebelumnya dan bahawa ini adalah kesalahan pertamanya.

Beliau menambah bahawa Teh berdepan dengan "pendakwaan yang ditunda bagi tempoh lama ", memandangkan dia didakwa tiga tahun setelah ditangkap meskipun " berniat untuk mengaku bersalah secepat mungkin".

Menurutnya lagi Teh adalah "seorang yang bijak" dengan "masa depan yang sangat cerah".

Teh menghadiri dua sesi di Institut Kesihatan Mental pada Jun dan Ogos 2017 dan didiagnosis dengan gangguan parafilik, iaitu sejenis gangguan melibatkan kecenderungan seksual.

SEKATAN DISIPLIN DIKENAKAN: NUS

Dalam satu kenyataan kepada Mediacorp, seorang jurucakap NUS berkata bahawa siasatan dalaman lembaga disiplin dijalankan pada Mei 2017 atas satu kesalahan yang dilakukan Teh di kampus pada Mac 2017.

Lembaga itu memutuskan untuk mengenakan sekatan disiplin kepadanya, termasuk digantung sekolah selama dua semester, kaunseling wajib dan kerja-kerja kemasyarakatan.

Bagi setiap tuduhan menghina kehormatan seorang wanita, Teh boleh dipenjara hingga setahun, didenda, atau kedua-duanya.

Atas kesalahan memiliki filem lucah, dia boleh didenda sekurang-kurangnya S$500 bagi setiap filem, tidak melebihi S$20,000 secara keseluruhan, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan