Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siswa NTU akui rakam video sulit 335 wanita termasuk mangsa di kampus

Selama kira-kira empat setengah bulan, seorang mahasiswa psikologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) merakam 469 video sulit 335 wanita termasuk mangsa-mangsa di kawasan North Spine universiti itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa NTU akui rakam video sulit 335 wanita termasuk mangsa di kampus

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 16 Sep 2020 05:52PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 05:53PM

SINGAPURA: Selama kira-kira empat setengah bulan, seorang mahasiswa psikologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) merakam 469 video sulit 335 wanita termasuk mangsa-mangsa di kawasan North Spine universiti itu.

Shaun Ho Yan Liang, 26 tahun, mengaku bersalah pada Rabu (16 Sep) atas dua tuduhan menghina kehormatan wanita dan satu tuduhan di bawah Akta Filem dengan tuduhan keempat turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Perbuatan Ho terbongkar hanya apabila teman lelaki kepada salah seorang mangsa ternampak perbuatannya dan terus menahannya. Ho mengekori gadis berkenaan di sebuah pasar raya di pusat beli-belah Eastpoint pada malam tanggal 22 Julai 2018 apabila mangsa mula perasan dia mengekorinya.

Gadis tersebut memberitahu teman lelakinya dan mereka berdua terus memerhatikan tindak-tanduk Ho sehingga teman lelaki mangsa ternampak Ho meletakkan telefon bimbitnya di bawah baju temanita beliau.

Beliau segera menahan Ho dan melaporkan insiden itu kepada seorang pengawal keselamatan yang kemudian membuat aduan polis.

Polis menemui 10 video mangsa di dalam telefon bimbit Ho. Satu pemeriksaan forensik ke atas telefon bimbitnya menemui lagi 459 video melibatkan 334 mangsa wanita.

Ho mengaku dia merakam video-video itu antara Februari 2018 hingga Julai 2018 di pelbagai tempat termasuk pusat beli-belah Eastpoint, jambatan di North Spine di NTU, pusat kegiatan mahasiswa di NTU dan sebuah makmal di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Dia menyasarkan wanita yang memakai seluar pendek atau skirt, yang sedang menyangkung atau berdiri dekat dengannya untuk merakam video.

Kebanyakan kalinya, Ho akan mengekori mangsa buat suatu tempoh masa, menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam beberapa video bahagian sulit mangsa semasa kuliah di NTU di pelbagai tempat dalam kampus serta semasa melanggani pasar raya.

Ho menggunakan sebuah aplikasi di telefon bimbitnya untuk membolehkannya merakam video-video itu secara tersembunyi, mengambil rakaman sulit setiap hari sepanjang empat setengah bulan.

Dia akan menonton video-video itu semasa berada di dalam sebuah ruang privet dan akan meraih kepuasan nafsu daripada video-video tersebut, kata Timbalan Pendakwa Raya Sean Teh.

Lebih 100 fail video lucah juga ditemui di dalam komputer riba Ho.

Bagi setiap tuduhan mennghina kehormatan wanita, Ho boleh dipenjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan memiliki filem-filem lucah, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sekurang-kurangnya SS500 bagi setiap filem sehingga maksimum S$20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mediacorp sudah menghubungi NTU untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung kes tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan