Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sistem politik S'pura mesti berkembang, hasilkan huraian kukuh, kata Chan Chun Sing

Singapura mesti membangunkan sebuah sistem dan budaya politik yang menjadikan negara ini kekal "membangun, berkembang dan bersinar", kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing pada Isnin (20 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem politik S'pura mesti berkembang, hasilkan huraian kukuh, kata Chan Chun Sing

Encik Chan Chun Sing berucap di sidang anjuran IPS pada 20 Jan 2020

Diterbitkan : 20 Jan 2020 07:05PM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 07:09PM

SINGAPURA: Singapura mesti membangunkan sebuah sistem dan budaya politik yang menjadikan negara ini kekal "membangun, berkembang dan bersinar", kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing pada Isnin (20 Jan).

Ini akan membolehkan rakyat Singapura terus memperbaiki kehidupan dan mencapai cita-cita mereka, katanya. Namun ini bukan mudah.

Sebagai sebuah masyarakat terbuka, Singapura menghadapi cabaran besar pengaruh luaran yang cuba "menembusi dan meresap ke dalam masyarakat kita" untuk mempengaruhi pilihan dan hala tuju negara, katanya.

Encik Chan menambah bahawa cabaran ini dihadapi sedang masyarakat lain menghadapi tekanan seperti kepentingan sempit kumpulan-kumpulan yang meretakkan pusat politik, serta kedua-dua sayap kiri dan kanan ektrem politik mengeksploitasi rasa takut.

Berucap di persidangan Perspektif Singapura oleh Institut Pengajian Dasar (IPS), beliau menarik perhatian bahawa tema persidangan tahun ini adalah "Politik".

"Di kebanyakan tempat, ini (politik) adalah perkataan yang agak 'kotor', sering dikaitkan dengan persaingan kuasa demi kepentingan peribadi seseorang, atau lebih teruk lagi, dikaitkan dengan rasuah."

Namun di Singapura, politik mestilah menitikberatkan tadbir urus, kata Encik Chan, yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Tadbir urus pada dasarnya meningkatkan kehidupan rakyat kita, untuk membolehkan mereka memenuhi potensi dan aspirasi mereka."

Beliau menggariskan tiga cara Singapura boleh kekal luar biasa - huraian yang membina hasil daripada kepelbagaian pandangan, sistem politik yang kerap berubah agar kekal relevan dan kepemimpin politik dengan nilai etos yang betul.

HURAIAN MEMBINA, BUKAN HANYA DEBAT DAN RETORIK

Demokrasi, kata Encik Chan, kadang-kala ditakrifkan terlalu sempit sebagai sama ada persaingan antara ideologi yang berbeza atau jumlah suara yang berbeza dalam badan perundangan atau masyarakat.

Namun beliau menegaskan ini tidak boleh menjadi satu-satunya kayu ukur kejayaan sistem demokrasi.

"Selain kepelbagaian, mana-mana sistem politik yang berfungsi mesti mempunyai perdebatan berdasarkan fakta yang membawa kepada rancangan dan tindakan kukuh untuk memperbaiki kehidupan rakyat kita," katanya.

Inilah ujian sebenar demokrasi yang berfungsi, katanya.

SISTEM POLITIK MESTI BERUBAH UNTUK KEKAL RELEVAN

Tiada sistem politik yang sempurna sentiasa, kata Encik Chan.

Sistem politik yang berfungsi perlu dilihat sebagai "kerja yang masih berlangsung", dengan struktur dan peraturan yang boleh berubah mengikut keperluan semasa, katanya.

Sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), presiden dilantik dan Akta Perlindungan dari daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) semuanya adalah sebahagian daripada usaha mengembangkan sistem Singapura untuk "bertindak awal sebelum berlakunya masalah," meskipun menimbulkan ketidakselesaan politik, katanya lagi.

Sedang sistem politiknya semakin matang, Singapura harus mengelakkan daripada mengalami nasib negara-negara lain yang mana sistem politik menjadi ketinggalan dan tidak dapat mewakili aspirasi rakyat atau memberi hasil untuk generasi sekarang dan akan datang, kata Encik Chan.

ETOS PEMIMPIN POLITIK

Pemimpin Singapura mesti mempunyai beberapa ciri, kata Encik Chan.

Ini termasuk keupayaan mempertahankan nilai-nilainya, mampu membuat "keputusan yang sukar tetapi diperlukan", serta keupayaan untuk menjangka cabaran dan menanganinya lebih awal, katanya.

Negara ini mesti mempunyai "kepimpinan politik yang tulen dan bukan hanya ahli politik", tambahnya.


Kata Encik Chan: "Khidmat politik yang sebenar memerlukan kepimpinan dan pengawasan untuk generasi ini dan generasi akan datang."

"Penekanannya adalah 'khidmat' dan bukan 'politik'." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan