Images
  • sg covid crowd (1)
    Orang ramai melintasi jalan raya di Raffles Place pada 6 Sep 2021. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Sistem pemulihan di rumah 'sangat tertekan'; MOH gesa orang ramai elak banjiri talian penting

SINGAPURA: Dengan sistem yang "sangat tertekan" oleh lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini dan pemulihan di rumah kini menjadi aturan pilihan, Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (23 Sep) mengeluarkan satu set jawapan bagi soalan-soalan yang lazim diajukan sebagai memberi panduan kepada para pesakit yang sedang beransur pulih daripada penyakit itu di rumah.

Ini dilakukan di tengah-tengah kekecewaan yang diluahkan sejak beberapa hari kebelakangan ini oleh sebilangan pesakit mengenai skim pemulihan di rumah kerana kurangnya arahan yang jelas daripada pihak berkuasa.

MOH menggesa individu yang menjalani pemulihan di rumah untuk tidak menghubungi nombor-nombor talian pentingnya atau talian-talian penting kuarantin mahupun Pengurus Mutu Perkhidmatan kerana ini akan menyekat lagi sistem itu.

"Kami sedang menubuhkan sistem teman pemulihan di rumah serta meningkatkan sumber kami dan teman pemulihan di rumah akan menghubungi anda."

Pesakit di bawah skim itu akan menerima pesanan SMS dengan lebih banyak maklumat mengenai apa yang harus mereka lakukan.

Protokol pemulihan di rumah bermula pada 15 September bagi pesakit COVID-19 berusia sehingga 50 tahun yang sudah divaksin dan mengalami simptom ringan atau tanpa gejala. Ini bererti mereka tidak perlu pergi ke hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Sejak 18 September, kelayakan untuk pemulihan di rumah diperluaskan kepada pesakit koronavirus berusia antara 51 hingga 69 tahun yang sudahpun divaksin sepenuhnya

Sehingga 40 peratus kes harian COVID-19 diletakkan di bawa program pemulihan di rumah, menurut MOH pada Khamis sebagai menjawab pertanyaan media.

Pesakit dimasukkan ke hospital serta kemudahan jagaan masyarakat hanya jika mereka berusia 80 tahun dan ke atas, 70 tahun dan ke atas serta belum divaksin atau jika mereka mempunyai penyakit sedia ada.

"Dengan pemulihan di rumah sekarang menjadi mod pilihan untuk pengurusan kes dan bertambahnya jumlah kes setiap hari, operasi di lapangan kami sangat terbeban," menurut MOH.

Singapura sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal lonjakan kes COVID-19 yang diburukkan lagi dengan penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.

Pada Rabu, Singapura mencatatkan 1,457 kes jangkitan baru koronavirus, angka tertinggi sejak pandemik itu melanda awal tahun lalu. 

LAPORAN BERKAITAN:

- TODAY/TQ/tq

Top