Images
  • amrin (1)
    Encik Amrin Amin di acara 'SO SHIOK x SO GELAM'. (Gambar: BERITAmediacorp) 

Siri 'SHIOK' kendalian PA MESRA diperluaskan mengikut citarasa masyarakat

SINGAPURA: Demi menyokong minat dan aspirasi masyarakat Melayu tahun ini, PA MESRA bakal meningkatkan lagi jumlah kelas dan program yang ditawarkan di bawah siri 'SHIOK'.

Dengan itu, para penduduk disajikan dengan lebih 650 kursus untuk disertai di kelab-kelab masyarakat serata negara - peningkatan 30 peratus berbanding 500 kelas dan program yang disediakan tahun lalu.

Peluasan sedemikian, kata Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, menunjukkan bahawa kelab-kelab masyarakat adalah nadi penting yang sentiasa relevan kepada masyarakat Singapura.

Encik Amrin, yang juga anggota Panel Penasihat MESRA, memberikan komen itu ketika mengunjungi acara 'SO SHIOK x SO GELAM' malam semalam (12 Jan) untuk meninjau-ninjau sendiri barisan kursus di bawah siri 'SHIOK'.

TAHUN PERTAMA SIRI 'PA SHIOK' SANGAT MENGGALAKKAN

Inisiatif oleh Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) Persatuan Rakyat itu dilancarkan Januari tahun lalu untuk menggalak lebih ramai penduduk Melayu mengikuti kursus dan program yang ditawarkan di kelab-kelab masyarakat.

Sambutan yang diterima pada tahun pertama ia dianjurkan cukup memberangsangkan, dengan lebih 7,500 peserta mengambil bahagian.

Dalam usaha mendampingi lebih ramai lagi masyarakat Melayu, MESRA memperkenalkan siri-siri baru 'SHIOK' dan mengalu-alukannya menerusi kegiatan-kegiatan amali singkat di sebuah bazar di Kampong Gelam semalam.

"Saya kunjungi kedai di sini sebab saya dengar mereka menawarkan makanan-makanan yang sihat. Jadi saya nak ambil tahu lebih tentang kursus-kursus cara menyediakan makanan-makanan sihat," kata Cik Aidanorwani Hashim, seorang lagi pengunjung.

Seorang lagi pengunjung, Cik Siti Ashlinda Karim pula mendapati acara seperti itu berguna terutama sekali kerana beliau boleh dapat tentang kursus-kurus yang boleh diikuti pada harga subsidi atau menggunakan kredit SkillsFuture.

"Selalunya kalau saya hendak pergi kelas membakar kuih atau kek, saya pergi kelas privet tetapi harganya selalu lebih tinggi daripada (kursus) PA. Bila dapat tahu ini ada 'hands-on', jadi saya lebih berminat," kongsi Cik Siti Ashlinda Karim, salah seorang pengunjung bazar tersebut.

SIRI 'SHIOK' AKAN DIPERKENALKAN SECARA BERPERINGKAT

Hasil kerjasama dengan rakan-rakan kongsi, pakar-pakar industri serta pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, PA MESRA akan menambah sekurang-kurangnya 150 program daripada yang sedia ada sepanjang tahun ini.

Berteraskan pembelajaran sepanjang hayat, ia termasuk kursus-kursus makanan dan minuman, kesihatan serta gaya hidup.

Dengan memenuhi citarasa dan keperluan masyarakat, MESRA berharap dapat memikat lebih 8,500 peserta tahun ini.

"Kursus-kursus yang ditawarkan adalah daripada maklum balas yang didapatkan daripada para MAEC dan ia akan diadakan secara bertahap-tahap berdasarkan permintaan dan keperluan," jelas Encik Omar Ismail, Pengerusi PA MESRA.

Encik Amrin Amin, turut menyeru orang ramai supaya terus mengongsi citarasa mereka agar dapat menyemarakkan lagi budaya bergiat aktif dalam acara-acara masyarakat.

"Asalkan kita terus relevan, asalkan kita adakan aktiviti-aktiviti yang dekat dengan masyarakat, saya rasa kita akan terus mendapat sokongan masyarakat.

Jadi ayuhlah kita sama-sama memastikan tempat itu meriah, tempat itu menjadi sentiasa relevan dan ia menjadi kelab kita," ujar Encik Amrin Amin.

Hampir 40 kelab masyarakat merata negara menyokong kursus dan program 'PA SHIOK Series'. 

- BERITAmediacorp/na

Top