Images
  • korea utara
    Gambar fail bendera Korea Utara. (Gambar fail: Denis Balibouse/Reuters)

Sinsms didakwa di S'pura; bekalkan arak bernilai lebih S$600,000 kepada Korea Utara

SINGAPURA: Sebuah syarikat didakwa hari ini (15 Ogos) kerana membekalkan barangan mewah bernilai lebih S$600,000 ke Korea Utara melalui Dalian, China.

Sinsms yang berpangkalan di Singapura dan mempunyai kaitan dengan Dalian Sun Moon Star International Logistics Trading Co, sebuah syarikat perdagangan di China, didakwa dengan empat tuduhan di bawah Peraturan (Sekatan ke atas Korea Utara) 2010 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Syarikat itu dituduh menghantar barangan-barangan mewah dalam bentuk wain dan arak ke Korea Utara menerusi bandar pelabuhan Dalian dan wilayah Liaoning antara Oktober 2016 hingga Januari 2017.

Menurut kertas tuduhan, syarikat itu menghantar minuman keras ke Korea Utara sebanyak empat kali. Nilai wain dan arak yang dihantar setiap kali adalah antara sekitar S$133,600 hingga S$201,000.

Menurut Peraturan (Sekatan ke atas Korea Utara) 2010 PBB, sesiapa saja di Singapura dilarang menghantar barangan ke Korea Utara untuk kerja-kerja pembaikan, pengujian, kejuruteraan atau pemasaran.

Pada Ogos tahun lalu, Pejabat Perbendaharaan PBB bagi Kawalan Aset Asing (OFAC) mengumumkan bahawa ia akan menyasarkan industri perkapalan dan sesiapa saja yang membantu memudahkan kegiatan penghantaran secara haram bagi pihak Korea Utara.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Steve Mnuchin berkata entiti-entiti yang berpangkalan di China, Singapura dan Rusia kini menggunakan taktik yang dapat mengelakkan daripada dikenakan sekatan yang dikuatkuasakan di bawah undang-undang Amerika.

Menurut kenyataan itu, Sinsms dan syarikat induknya "berpakat untuk memudahkan kegiatan penghantaran haram ke Korea Utara dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu, termasuk eksport arak, tembakau dan produk yang ada kaitan dengan rokok.

Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika, Sinsms menguruskan barangan eskport ke Korea Utara dan memperdagangkan barangan dari China, Singapura, Hong Kong, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja.

Kes itu akan dibicarakan lagi pada bulan depan.

Jika sabit kesalahan, denda maksimum yang boleh dikenakan bagi setiap tuduhan adalah denda sebanyak S$1 juta. 

- CNA/AI/ai

Top