Images
  • singtel comcentre
    (Gambar: Reuters)

Singtel akan ambil lebih 500 pekerja dalam jawatan berkaitan 5G dan teknologi baru

SINGAPURA: Singtel akan mengambil lebih 500 pekerja dalam jawatan berkaitan 5G dan teknologi baru, sepanjang dua tahun akan datang.

Syarikat tersebut juga sedang bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Politeknik Singapura (SP) untuk menghasilkan program-program latihan.

Singtel akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang utama seperti kejuruteraan rangkaian 5G serta pembangunan produk dan wadah khidmat tersebut.

Sasaran pengambilan pekerja itu adalah para lulusan baru dan karyawan pertengahan kerjaya.

Program-program latihan yang disediakan akan ditawarkan kepada kakitangan Singtel yang baru dan sedia ada.

Syarikat telko itu merupakan salah satu pemegang lesen untuk menyediakan prasarana rangkaian 5G sedang Singapura berada pada landasan untuk mencapai liputan 50 peratus menjelang hujung tahun 2022.

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata pemerintah secara aktif sedang meneroka kerjasama serupa dengan rakan-rakan industri yang lain.

"Dalam membangunkan keupayaan warga kita, kita kekal terbuka. Kuncinya adalah dari satu sudut, mereka yang menyertai program-program latihan menimba kemahiran yang bernilai yang dikehendaki pasaran," kata Encik Iswaran.

"Pada satu lagi sudut, latihan dan kemahiran yang diperolehi juga mempunyai nilai dalam industri kerana ia adalah asas bagi tahap pertumbuhan seterusnya."
 

- CNA/AI/tq

Top