Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SingPass lancar ciri tanda tangan digital bagi dokumen rasmi

Satu ciri tanda tangan digital dilancarkan di aplikasi mudah alih SingPass pada Khamis (5 Nov) bagi memudahkan proses menandatangani dokumen rasmi. Demikian menurut Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).

Anggaran Waktu Membaca:
SingPass lancar ciri tanda tangan digital bagi dokumen rasmi

(Gambar: GovTech)

Diterbitkan : 05 Nov 2020 02:07PM Dikemas Kini : 05 Nov 2020 02:08PM

SINGAPURA: Satu ciri tanda tangan digital dilancarkan di aplikasi mudah alih SingPass pada Khamis (5 Nov) bagi memudahkan proses menandatangani dokumen rasmi. Demikian menurut Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).

Diberi nama "Sign with SingPass" atau "Tanda tangan guna SingPass", khidmat itu membolehkan lebih daripada 2.1 juta pengguna untuk menandatangani dokumen rasmi dalam masa kurang dua minit, menurut GovTech dalam satu kenyataan media.

Ini "amat berguna bagi pertubuhan-pertubuhan dan pelanggan mereka dengan meningkatnya urus niaga online" di tengah-tengah pandemik COVID-19, tambahnya.

GovTech menyatakan ciri-ciri itu akan dicuba "dalam beberapa minggu akan datang" bagi proses tanda tangan digital notis pemberitahuan rasmi yang dibuat secara elektronik bersama Penguasa Tanah Singapura (SLA).

Peguam juga boleh melakukan proses tanda tangan secara digital untuk memfailkan kaveat "pada bila-bila masa dan di mana sahaja" tanpa perlu token perkakasan atau menggunakan komputer riba.

Untuk menggunakan ciri tersebut, pengguna perlu membuka aplikasi SingPass dan mengimbas kod QR pada dokumen tersebut.

Satu kod rujukan yang sama dengan kod pada dokumen itu akan muncul dalam aplikasi tersebut.

Sebaik sahaja ia disahkan, pengguna akan diminta untuk mengesahkan identiti mereka.

Menurut GovTech, khidmat itu diperkenalkan menyusuli pelancaran khidmat mengguna wajah bagi pengesahan identiti SingPass pada Julai lalu, yang membolehkan pengguna mengesahkan diri mereka semasa urus niaga online menggunakan fungsi biometrik wajah.

"Kedua-dua khidmat itu adalah sebahagian daripada projek strategik Negara Bijak di bawah sistem Identiti Digital Negara (NDI) yang bertujuan membangunkan ekosistem identiti digital yang diyakini bagi penduduk, agensi awam dan syarikat sektor swasta."

PEMERINTAH SASAR 100% PILIHAN DIGITAL

Ciri baru tanda tangan digital itu juga akan menyokong usaha pendigitalan khidmat Pemerintah dan mencapai sasaran pelan tindakan Digital Pemerintah untuk menyediakan 100 peratus pilihan digital, menurut GovTech.

Dengan lebih banyak agensi menawarkan khidmat itu, "para pengguna boleh menjangkakanlebih banyak urus niaga dengan Pemerintah dilakukan dengan menggunakan tanda tangan digital tanpa perlu hadir secara fizikal untuk menandatangani dokumen", tambah GovTech. Kini terdapat sekitar 250 agensi Pemerintah dan pertubuhan swasta, yang menawarkan lebih daripada 2,000 khidmat digital di SingPass.

Langkah keselamatan siber sejajar dengan "amalan terbaik industri" sudah dilaksanakan dalam proses tanda tangan digital.

Menurut GovTech, "tiada data dokumen" akan dipindahkan antara rakan kongsi tanda tangan digital atau wadah rakan kongsi perniagaan dengan wadah NDI.

"Sebaliknya, dokumen yang ditanda tangani itu diwakili kod kriptografi secara rambang, sukar difahami dan tidak boleh diubah semasa urus niaga itu."

Ciri itu akan dilancarkan secara bertahap-tahap oleh anak syarikat milik GovTech iaitu Assurity Trusted Solutions dengan kerjasama lapan penyedia aplikasi tanda tangan digital.

Ini meliputi DocuSign, iText, Netrust, Adobe, OneSpan, Dedoco, Tessaract.io dan Kofax.

Dengan ciri itu, "perniagaan dapat menjimatkan kos dan tenaga kerja dengan tidak lagi perlu proses mengesahkan kertas kerja secara fizikal", kata ketua eksekutif GovTech Kok Ping Soon.

Pertubuhan boleh mendaftarkan minat menerusi laman NDI, tanpa sebarang bayaran untuk menawarkan khidmat itu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan