Images
  • mc
    Gambar fail. 

SingHealth akan ganti sijil cuti sakit bentuk kertas dengan digital jelang 2020

SINGAPURA: Sijil cuti sakit (MC) dalam bentuk kertas yang dikeluarkan oleh institusi-institusi SingHealth dijangka akan digantikan dengan MC dalam bentuk digital menjelang 2020, menurut Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).

GovTech, menerusi wadah medianya TechNews, pada Isnin (9 Sep) menyatakan para pesakit bakal menerima MC dalam bentuk digital di bawah sistem baru yang diberi nama DigiMC.

Sistem berkenaan sudah dirintis di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS).

Menurut pengurus produk Encik Chong Zi Xin, 95 peratus daripada 179 pesakit yang ditinjau sepanjang tempoh empat bulan berkata mereka berpuas hati dengan sistem baru itu.

GovTech menyatakan ia merancang untuk melaksanakan MC digital di semua institusi SingHealth menjelang awal 2020. MC dalam bentuk kertas juga diberikan selama beberapa bulan sebelum ia digantikan sepenuhnya.

Sekitar sejuta MC kertas dikeluarkan oleh SingHealth, kelompok jagaan kesihatan terbesar di Singapura, pada 2017.

MENERIMA MC DALAM BENTUK DIGITAL

Para pesakit yang menerima MC digital akan juga menerima kiriman teks SMS yang mengandungi URL untuk mengakses MC digital tersebut.

Mereka boleh mengirimkan SMS itu ataupun URL-nya kepada para majikan, kata pengurus produk Cik Annabelle Ng.

MC dalam bentuk digital tidak mudah hilang, katanya sambil menambah bahawa pesanan SMS boleh disimpan di khidmat-khidmat Cloud bagi rujukan kelak. URL bagi MC digital itu juga tidak mempunyai tarikh akhir.

CIRI-CIRI KESELAMATAN

Bagi mencegah akses tanpa kebenaran, MC digital akan dikunci menggunakan tarikh lahir para pesakit, menurut GovTech.

Ia bertujuan menyediakan "langkah keselamatan tambahan" sekiranya maklumat dihantar ke nombor telefon yang salah ataupun jika nombor telefon yang salah didaftarkan, menurutnya lagi.

Pada masa akan datang, pasukan pembangun akan menambah lebih banyak ciri keselamatan.

GovTech menyatakan bahawa para pesakit masih boleh memohon untuk mendapatkan MC dalam bentuk kertas setelah ia dihentikan, jika perlu.

BOLEHKAH MC DIGITAL DIUBAH SUAI?

Menjawab keprihatinan mengenai ketulenan MC digital, GovTech menyatakan bahawa setiap dokumen akan dihoskan di domain laman berkaitan pemerintah.

URL juga mengandungi gabungan abjad dan angka yang unik bagi memastikan setiap MC digital tidak mudah diubah suai.

"Meskipun MC digital itu boleh dimuat turun dan disimpan sebagai fail PDF, para majikan masih boleh mengesahkannya menerusi URL yang dicetak di bahagian bawah MC berkenaan," kata Encik Chong.  

- CNA/AI/ai

Top