Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SingHealth, A*STAR meterai perjanjian tangani penyakit di S'pura

Usaha Singapura memerangi penyakit-penyakit utama mendapat rangsangan besar hari ini (8 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Dec 2017 05:20PM Dikemas Kini : 08 Dec 2017 11:57PM

SINGAPURA: Usaha Singapura memerangi penyakit-penyakit utama mendapat rangsangan besar hari ini (8 Dis).

Ini menyusuli perkongsian baru antara kelompok jagaan kesihatan terbesar Singapura, SingHealth dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), yang memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menangani penyakit-penyakit yang tersebar luas khususnya di Singapura dan Asia seperti kencing manis dan barah hati yang berkaitan dengan Hepatitis B.

Perjanjian tiga tahun itu akan menyaksikan kedua-dua pertubuhan melaksanakan hasil penyelidikan perubatan dengan matlamat jangka panjang iaitu memperbaiki kesan rawatan bagi para pesakit.

Ia meliputi tiga bidang utama menurut kenyataan bersama kedua-dua pertubuhan. Pertama, seiring dengan perang Singapura menentang penyakit kencing manis, kerjasama tersebut akan menubuhkan sebuah klinik kencing manis "masa depan".

Klinik berkenaan akan memanfaatkan teknologi bijak untuk memperbaiki rawatan kencing manis yang berbagai, bermula daripada jangkaan risiko kepada pantauan, rawatan dan pengurusan penyakit tersebut.

Kedua adalah pembangunan imunoterapi dan ubat-ubatan.

Kerjasama itu akan menggabungkan kemampuan kedua-dua pertubuhan dalam imunologi, imunoterapi dan kajian serta rawatan barah untuk mendirikan platform imunoterapi bagi menghantar ubat-ubatan ke klinik-klinik dengan lebih cepat.

SingHeath dan A*STAR juga akan mendapatkan bantuan syarikat-syarikat bioteknologi tempatan untuk membangun dan menguji gabungan ubatan imunoterapi baru.

Ketiga, kerjasama itu akan menumpukan perhatian kepada perubatan tepat yang akan mengambil kira data biologi dan gaya hidup yang unik bagi setiap pesakit untuk membuat ramalan, mendiagnosis atau merawat penyakit.

Ia akan membolehkan rawatan yang disesuaikan bagi setiap pesakit berbanding melaksanakan rawatan yang serba sesuai untuk semua, menurut kedua-dua pertubuhan.

Berucap di majlis MOU itu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran berkata bahawa keupayaan kedua-dua pertubuhan saling melengkapi.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kerjasama itu akan membantu merapatkan jurang antara hasil penyelidikan dan pelaksanaannya.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Pusat Penyelidikan Penyakit Menular dan Perubatan Uji Kaji iaitu kemudahan penyelidikan akademik yang akan mempercepatkan pembangunan ubat-ubatan dan vaksin bagi penyakit berjangkit.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan