Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura usul undang-undang menyeluruh banteras kepalsuan online

Singapura mengambil satu lagi langkah menangani penyebaran berita palsu dengan membentangkan di Parlimen pada Isnin (1 Apr), rang undang-undang Perlindungan dari Kepalsuan Online dan Manipulasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura usul undang-undang menyeluruh banteras kepalsuan online

Gambar fail seorang lelaki di hadapan komputer. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 01 Apr 2019 11:19PM Dikemas Kini : 01 Apr 2019 11:25PM

SINGAPURA: Singapura mengambil satu lagi langkah menangani penyebaran berita palsu dengan membentangkan di Parlimen pada Isnin (1 Apr), rang undang-undang Perlindungan dari Kepalsuan Online dan Manipulasi.

Dalam pembentangan rang undang-undang tersebut, Kementerian Undang-Undang menyatakan ia bertujuan melindungi masyarakat daripada kerosakan yang disebabkan oleh kepalsuan online dan akaun palsu yang digunakan untuk menyebarkan kepalsuan sedemikian. Ia juga bertujuan menggunakan sekatan undang-undang sebagai perlindungan daripada pihak-pihak berniat jahat yang menyebarkan kepalsuan secara sengaja atau menyediakan khidmat dan kaedah pemalsuan informasi.

Kepalsuan online yang disengajakan ditakrif dalam usulan undang-undang baru itu sebagai kenyataan fakta yang palsu atau mengelirukan.

BILA UNDANG-UNDANG INI DIKUATKUASA?

Kementerian Undang-Undang menekankan dua kriteria mesti dipenuhi sebelum sebarang tindakan undang-undang boleh dikenakan: Kenyataan yang dibuat mestilah palsu, dan menjejas kepentingan awam.

Menurut kementerian itu, kepalsuan tersebut menjejas "kepentingan awam" jika ia membawa kesan kepada kesihatan, kewangan, keselamatan atau ketenteraman awam.

Ia juga dianggap sebagai menjejas kepentingan awam jika kepalsuan itu mempengaruhi keputusan pilihan raya atau pungutan suara, mencetus permusuhan atau kebencian antara kumpulan berbeza atau menjejas keyakinan terhadap institusi awam.

Apabila seorang menteri menentukan kedua-dua kriteria dipenuhi, beliau boleh mengarahkan "pihak berkuasa layak" - yang menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran secara berasingan pada Isnin, berkemungkinan bernaung di bawah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) - untuk mengambil pelbagai tindakan. Langkah-langkah ini termasuk mengeluarkan pembetulan dan arahan kepada penyedia khidmat Internet dan wadah media sosial untuk memadamkan kepalsuan itu.

"Dengan kaedah-kaedah ini, kerosakan boleh ditangani dengan cara yang tidak diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada," menurut kementerian itu.

Rang undang-undang ini diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya semasa jamuan malam ulang tahun ke-20 CNA pada 29 Mac. PM Lee berkata Rang Undang-Undang itu akan memberikan Pemerintah kuasa untuk mempertanggungjawabkan sumber dan wadah berita online jika pihak-pihak itu sengaja menyebarkan kepalsuan online.

BAGI PESALAH BERULANG

Undang-undang baru juga bertujuan menyekat pendanaan bagi pihak yang secara berulang menyebarkan kepalsuan dengan menyasarkan hasil pendapatan mereka khususnya iklan digital.

Selain itu, pemilik atau pengendali laman itu juga dihalang daripada menerima sebarang manfaat kewangan daripada mengendalikan laman itu dan meletakkan notis untuk memaklumkan pembaca tentang pengisytiharan tersebut. Orang ramai juga tidak dibenarkan menawarkan bantuan kewangan kepada laman tersebut.

PENJARA BAGI PIHAK YANG DIUPAH

Rang Undang-Undang itu juga merangkumi hukuman jenayah terhadap pihak berniat jahat yang menggunakan alat digital bagi menyebarkan kempen kepalsuan yang membawa kesan ke atas keselamatan negara.

Hukuman jenayah akan dikenakan terhadap tiga jenis pesalah:

  • pihak yang menyebarkan kepalsuan secara digital dengan sengaja dan dengan pengetahuan ia akan menjejas kepentingan awam
  • pihak yang membina program 'bot' dengan tujuan menyebar kepalsuan di Singapura
  • pihak yang menyediakan khidmat bagi menyebar kepalsuan dengan tujuan mendapatkan upahan

Akta Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi mengambil kira 22 saranan yang diserahkan oleh Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online pada September lalu.

"Warganegara dan masyarakat sivik penting dalam mengukuhkan mutu maklumat dalam kehidupan, perbincangan dan perbahasan awam," menurut Kementerian Undang-Undang.

"Pemerintah sedang menyokong usaha keseluruhan masyarakat termasuk mengukuhkan pendidikan awam dan meningkatkan kesedaran."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan