Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura tolak dakwaan Mahathir bahawa M'sia tidak 'sentuh' sempadan S'pura

Singapura pada Rabu (5 Dis) menyatakan bahawa perairannya menganjur ke arah barat dari had pelabuhan sekitar Tuas, seraya menekankan bahawa peluasan had pelabuhan Johor Bahru adalah "pencabulan serius" kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Dec 2018 09:34PM Dikemas Kini : 05 Dec 2018 10:09PM

SINGAPURA: Singapura pada Rabu (5 Dis) menyatakan bahawa perairannya menganjur ke arah barat dari had pelabuhan sekitar Tuas, seraya menekankan bahawa peluasan had pelabuhan Johor Bahru adalah "pencabulan serius" kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa.

Ini sebagai respons kepada komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, bahawa Malaysia tidak "menyentuh" sempadan Singapura.

"Kita boleh ukur sama ada betul atau tidak tapi kita tidak sentuh sempadan mereka," kata Dr Mahathir di luar satu acara di Selangor. "Kita masih dalam perairan sendiri."

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) menyatakan: "Singapura menegaskan bahawa perairannya menjangkaui ke barat dari had pelabuhan sekitar Tuas.

"Selaras dengan itu, peluasan had pelabuhan Johor Bahru yang dikatakan itu menceroboh perairan Singapura di kawasan itu dan merupakan pencabulan kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa."

Pada Selasa, MOT menyatakan Singapura sudah mengemukakan "bantahan keras" terhadap langkah kerajaan Malaysia untuk meluaskan lagi had pelabuhan Johor Bahru "menerusi cara yang menceroboh perairan Singapura dekat Tuas".

Perubahan terhadap had pelabuhan diumumkan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan Malaysia pada 25 Okt 2018, yang Singapura minta supaya dipinda "demi mencerminkan kedaulatan Singapura ke atas kawasan perairan yang dipersoalkan".

MOT juga menyatakan bahawa kapal-kapal Malaysia sudah berkali-kali mencerobohi perairan Singapura dekat Tuas sepanjang dua minggu lalu.

Kementerian itu menambah bahawa Singapura sudah meminta agar Malaysia mengelak daripada mengambil tindakan lanjut secara sehala, sambil memberi amaran bahawa tindakan Malaysia itu adalah "pencabulan serius terhadap kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa".

Menurut MOT lagi, Singapura sedia berhubungan dengan Malaysia untuk meleraikan hal-hal ini secara damai berasaskan undang-undang antarabangsa.

Awal pada Rabu, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata dakwaan Singapura adalah "tidak tepat".

"Had pelabuhan Johor Bahru yang dipinda tidak sama sekali menceroboh mana-mana bahagian Singapura," kata Encik Loke dalam satu kenyataan media. "Malaysia sentiasa dan akan terus mempunyai hak kedaulatan ke atas perairan dalam had pelabuhan Johor Bahru."

Beliau menyatakan meskipun Singapura menjalankan kerja-kerja menambak, sempadan perairan Singapura kekal tidak berubah sejajar dengan undang-undang antarabangsa.

"Lantaran itu, had Pelabuhan Johor Bahru yang dipinda adalah dalam lingkungan perairan Malaysia dan adalah hak Malaysia untuk melakarkan sebarang had pelabuhan dalam perairan kami mengikut undang-undang negara kami," kata Encik Loke.

"Ia juga adalah hak Malaysia sebagai negara bebas untuk mengerahkan agensi penguat kuasa dan yang relevan di perairannya sendiri."

"Amalan ini adalah sejajar dengan undang-undang antarabangsa lantas, Agensi Penguasa Maritim Malaysia dan Jabatan Marin Malaysia tidak menceroboh mana-mana bahagian Singapura," beliau menambah.

Pada Selasa Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata beliau sebelum ini sudah menimbulkan isu sempadan perairan dengan Encik Loke.

"Menteri Anthony Loke beritahu saya itu adalah langkah oleh (kementerian) ehwal luar dan kementerian itu akan memberi respons. Namun sedang kami menanti, respons tidak sampai-sampai, malah mereka meningkatkan tindakan," kata Encik Khaw kepada para wartawan.

"Mereka kemudian menerbitkan pemberitahuan pekeliling pelabuhan dan beberapa minggu kemudian, sebuah nota marin - arahan yang diberi kepada masyarakat perkapalan tentang sempadan baru mereka - jadi kami keluarkan nota pihak ketiga yang kedua," tambah beliau.

"Kami berharap pertimbangan wajar akan diutamakan kerana jika kita terus begini, ia pastinya tidak kondusif."

Encik Loke pada Rabu berkata Malaysia bersedia berhubung dengan Singapura menerusi saluran diplomatik yang sesuai bagi mencapai penyelesaian sewajarnya bagi hal tersebut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan