Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura, Malaysia tegas komitmen hubungan dua hala secara bersama, berpandang ke depan

Di Retreat Pemimpin Kesembilan antara kedua-dua negara, Perdana Menteri Singapura dan Perdana Menteri Malaysia menegaskan komitmen mereka terhadap hubungan dua hala dengan kerjasama dan memandang ke hadapan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (9 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura, Malaysia tegas komitmen hubungan dua hala secara bersama, berpandang ke depan

PM Lee Hsien Loong (kiri) dan PM Malaysia Mahathir Mohamad di Retreat Pemimpin ke-9 pada 9 April 2019 (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Apr 2019 02:24PM Dikemas Kini : 09 Apr 2019 02:39PM

PUTRAJAYA: Di Retreat Pemimpin Kesembilan antara kedua-dua negara, Perdana Menteri Singapura dan Perdana Menteri Malaysia menegaskan komitmen mereka terhadap hubungan dua hala dengan kerjasama dan memandang ke hadapan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (9 Apr).

Bercakap di sidang media bersama dengan rakan sejawatannya Dr Mahathir Mohamad, Encik Lee menarik perhatian bahawa Singapura dan Malaysia, sebagai dua negara jiran yang rapat, mesti menjangkakan isu-isu untuk bangkit dari masa ke masa.

"Tetapi selagi kita menanganinya dalam semangat membina, kita boleh mengatasi masalah dan berusaha mencapai hasil saling menguntungkan."

Beliau menambah bahawa hubungan antara kedua-dua negara bermula dari sejarah yang lama serta kaitan kekeluargaan dan perniagaan. "Ini kekal tidak berubah dengan kerajaan Malaysia yang baru," tambah beliau.

Di retreat itu, kedua-dua pemimpin juga menyentuh isu dua hala semasa termasuk sempadan perairan dan ruang udara.

KEMAJUAN BERHUBUNG ISU MARITIM

Menyentuh tentang sempadan maritim, Encik Lee berkata kedua-dua negara mencapai kemajuan dalam meredakan keadaan di laut dan mengelakkan sebarang kejadian pada masa depan.

Beliau menggariskan bagaimana Menteri Ehwal Luar dari kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah termasuk menggantung perluasan Had Pelabuhan Johor Bahru dekat Tanjung Piai dan Had Pelabuhan Singapura dekat Tuas dan henti melabuhkan kapal pemerintah di kawasan tersebut.

"Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kita akan memulakan rundingan mengenai had sempadan dalam tempoh sebulan," katanya.

Malaysia pada 25 Oktober mewartakan peluasan had pelabuhan Johor Bahru dengan cara yang menurut Singapura menceroboh perairan wilayahnya dekat Tuas.

Pada 6 Disember, Singapura meluaskan had pelabuhan dekat Tuas dan menyatakan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil "tindakan tegas" terhadap pencerobohan kapal kerajaan Malaysia di perairannya.

Singapura juga membantah "tindakan-tindakan provokatif" oleh Malaysia sejak beberapa bulan lalu, termasuk lawatan oleh Menteri Besar Johor Osman Sapian ke kapal Malaysia yang berlabuh di perairan Singapura.

SINGAPURA "BERSEDIA RUNDING" TRAFIK UDARA

Berhubung isu ruang udara, Encik Lee menarik perhatian bahawa Malaysia sudah menggantung Kawasan Larangan tetap untuk tempoh tidak ditetapkan di Pasir Gudang manakala Singapura menarik balik pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar.

Menyentuh tentang perkembangan ini, Encik Lee berkata ia membuka laluan bagi syarikat penerbangan Malaysia, Firefly, untuk memulakan khidmat di Lapangan Terbang Seletar.

Encik Lee juga berkata Malaysia sudah menyatakan niatnya untuk menilai semula aturan yang ada sekarang bagi peruntukan khidmat trafik udara di selatan Semenanjung Malaysia.

Mengulas leibh lanjut, Encik Lee berkata: "Singapura bersedia untuk merundingkan hal ini dengan Malaysia. Pertimbangan utama adalah keselamatan dan kecekapan operasi trafik udara serta keperluan dan kepentingan kedua-dua negara."

Beliau menambah ini "satu hal rumit" yang akan melibatkan rundingan dengan banyak pihak berkepentingan termasuk syarikat-syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Penerbangan awam sedang berkembang pesat di kedua-dua negara. Encik Lee menambah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Changi adalah lapangan terbang utama serantau, dengan setiap satu menyediakan khidmat kepada lebih 60 juta penumpang.

Singapura menyediakan khidmat trafik udara di sebahagian selatan semenanjung Malaysia di bawah Daerah Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur. Aturan itu diluluskan ICAO pada 1973.

Pada Disember, Malaysia menyatakan ia ingin menuntut semula "ruang udara yang diwakilkan" di selatan Johor atas sebab-sebab kedaulatan dan kepentingan negara.

Kedua-dua perdana menteri juga berbincang tentang projek keterhubungan sedia ada, termasuk Link Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Bagi Link RTS, Encik Lee berkata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke memberitahu Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan bahawa meskipun Malaysia masih menyokong sistem hubungan sebegitu, kerajaan itu ingin memohon penggantungan selama enam bulan untuk menilai semula pilihan.

Beliau berkata Singapura memahami kedudukan Malaysia dan Peguam Negara Singapura dan Malaysia ditugaskan untuk melakar secepat mungkin perjanjian tambahan untuk mengesahkan penggantungan itu, sama seperti proses penggantungan HSR pada 2018.

Berhubung HSR, Encik Lee berkata kedua-dua negara masih mempunyai sekitar setahun sebelum tamat tempoh Perjanjian Penggantungan.

Beliau berkata: “Singapura masih melihatnya sebagai sebuah projek baik yang mengeratkan hubungan antara kedua-dua ekonomi dan masyarakat. Namun kami faham mengapa Malaysia memerlukan masa untuk mengkaji semula kos dan pilihan alternatif."

Encik Lee berkata Singapura mengalu-alukan Malaysia memberi saranannya awal dan bekerja sama dengannya untuk mengorak langkah ke hadapan bagi kedua-dua negara.

PM MAHATHIR AKAN HADIRI NDP

Encik Lee juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas "layanan mesranya" dan mengundang beliau dan isteri Dr Siti Hasmah untuk melawat Singapura pada 9 Ogos bagi Perbarisan Hari Kebangsaan. Pemimpin Malaysia itu menerima undangan tersebut.

Encik Lee berkata Singapura sedang memperingati ulang tahun ke-200 tahun ini dan akan mengadakan perbarisan istimewa di Padang.

"Pada 1969, semasa kami meraikan ulang tahun ke-150 asas Singapura moden, Perdana Menteri Malaysia Tun Razak dan Tun Rahah menghadiri sambutan Hari Kebangsaan kami," kata Encik Lee.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan