Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura, Malaysia gantung tuntutan bertindih had pelabuhan

Kedua-dua Singapura dan Malaysia menggantung tuntutan bertindih mereka ke atas had pelabuhan, sebagai sebahagian daripada usaha mengendurkan ketegangan dalam pertikaian maritim antara kedua-dua negara jiran.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura, Malaysia gantung tuntutan bertindih had pelabuhan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 08 Apr 2019 10:00AM Dikemas Kini : 08 Apr 2019 10:02AM

SINGAPURA: Kedua-dua Singapura dan Malaysia menggantung tuntutan bertindih mereka ke atas had pelabuhan, sebagai sebahagian daripada usaha mengendurkan ketegangan dalam pertikaian maritim antara kedua-dua negara jiran.

Penggantungan secara bersama itu berkuat kuasa pada 12.01 pagi Isnin (8 Apr), menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA). Malaysia dan Singapura kini melaksanakan had pelabuhan yang masing-masing berkuatkuasa sebelum 25 Oktober dan 6 Disember tahun lalu.

Malaysia pada 25 Oktober mewartakan peluasan had pelabuhan Johor Bahru dengan cara yang menurut Singapura mencabuli perairan wilayahnya dekat Tuas.

Pada 6 Disember, Singapura memperluaskan had pelabuhan dekat Tuas dan menyatakan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil "tindakan tegas" terhadap pencerobohan kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairannya.

Singapura juga membantah "tindakan provokatif" oleh Malaysia sejak beberapa bulan lalu, termasuk lawatan Menteri Besar Johor Osman Sapian ke sebuah kapal kerajaan Malaysia yang berlabuh di perairan Singapura.

Penggantungan tuntutan bertindih had pelabuhan adalah satu daripada lima langkah yang disarankan oleh sebuah kumpulan petugas khas berhubung isu maritim yang diumumkan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan serta rakan sejawatannya di Malaysia Saifuddin Abdullah pada 14 Mac.

Langkah-langkah lain termasuk penggantungan kegiatan komersil di kawasan itu serta perjanjian tidak melabuhkan sebarang kapal pemerintah di situ.

Selain itu, kapal-kapal Singapura dan Malaysia akan beroperasi di kawasan itu mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kedua-dua menteri juga bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memastikan langkah-langkah itu dilaksanakan selewat-lewatnya 14 April sebelum bermulanya rundingan bagi had sempadan maritim di kawasan itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan