Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura lapor 3 kes baru COVID-19, termasuk 2 jangkitan import

Singapura melaporkan tiga jangkitan baru COVID-19 setakat tengah hari Isnin (26 Okt), termasuk dua kes diimport.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura lapor 3 kes baru COVID-19, termasuk 2 jangkitan import

Gambar fail Lapangan Terbang Changi.

Diterbitkan : 26 Oct 2020 04:04PM Dikemas Kini : 27 Oct 2020 12:23AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan tiga jangkitan baru COVID-19 setakat tengah hari Isnin (26 Okt), termasuk dua kes diimport.

Kedua-dua kes diimport itu dikenakan notis jangan keluar rumah setibanya mereka di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Salah satu kes diimport ialah bayi perempuan berumur 1 tahun yang merupakan pemegang pas tanggungan. Warga negara India itu melakukan perjalanan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan dikaitkan dengan satu kes import sebelum ini, seorang wanita warga India berusia 34 tahun yang juga pemegang pas tanggungan.

Seorang lagi kes import ialah warga negara Perancis berusia 21 tahun yang memegang pas pelajar dan melakukan perjalanan ke Singapura dari Perancis.

Kesemua kes baru tidak menunjukkan gejala, menurut MOH.

Seorang penghuni dormitori pekerja asing juga dilaporkan sebagai antara kes baru pada Isnin. Beliau dikesan menerusi ujian rutin berjadual setiap dua minggu bagi pekerja asing yang tinggal di dormitori.

Satu lagi kes dikaitkan dengan kelompok jangkitan di Cassia @ Penjuru. Dormitori di 15 Penjuru Walk itu kini mempunyai 18 kes COVID-19 yang disahkan, kata MOH.

Kes-kes jangkitan baru itu menjadikan jumlah keseluruhan 57,973 kes di negara ini.

Beberapa tempat baru juga ditambah ke dalam senarai tempat-tempat awam yang dikunjungi kes dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit mereka, pada Isnin.

Tempat-tempat itu termasuk tempat makan di Lot One Shoppers' Mall, 313@Somerset dan Hab Tampines Kita.

(Sumber: MOH)

"Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berada di lokasi tersebut pada waktu-waktu tertentu itu seharusnya memantau kesihatan mereka dengan teliti selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka," kata kementerian itu.

"Mereka harus segera berjumpa doktor jika mereka mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (seperti batuk, sakit tekak dan hidung berair), serta demam dan kehilangan deria rasa atau bau, dan memberitahu doktor mengenai sejarah pendedahan mereka."

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat berkurangan dari empat kes pada minggu sebelumnya, kepada dua pada minggu lalu, tambah MOH.

Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat kekal stabil pada dua kes seminggu dalam tempoh dua minggu lalu.

21 LAGI KES DIBENARKAN PULANG

Di samping itu, lagi 21 kes jangkitan COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, kata MOH.

Secara keseluruhan, 57,879 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakt.

Pada masa ini terdapat 43 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital.

"Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan tiada di antara mereka dirawat dalam unit jagaan rapi," menurut kementerian itu.

Seramai 23 orang diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat, iaitu mereka yang mengalami gejala ringan, atau sihat dari segi klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.

Seramai 28 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi ekoran jangkitan COVID-19.

Pihak berkuasa telah mula merintis penggunaan ujian pantas antigen untuk mengesan COVID-19 dengan lebih cepat dalam kalangan pekerja asing yang menjalani ujian rutin.

Pekerja asing kini diuji setiap dua minggu menggunakan ujian reaksi rantai polimerase (PCR). Ujian antigen boleh memberikan keputusan dalam masa setengah jam namun ia kurang tepat berbanding ujian PCR yang mengambil masa sekurang-kurangnya sehari.

Percubaan rintis itu akan menggunakan ujian pantas antigen pada hari ketujuh untuk melengkapi ujian PCR pada hari ke-14.

"Pekerja asing yang diuji positif boleh diasingkan dengan segera dan dihantar ke sebuah kemudahan perubatan untuk ujian PCR sebagai pengesahan," kata Kementerian Tenaga Manusia.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan